NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bahagian mana yang hutang negara makin berkurangan, soal Isham Jalil




KUALA LUMPUR: “Saya tidak tahu bahagian mana yang menunjukkan bahawa kerajaan telah mengurangkan hutang negara ini.”

Mantan Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil berkata, semalam Perdana Menteri mengumumkan bahawa hutang negara telah berjaya diturunkan pada tahun ini.

“Sebelum ini beliau menyatakan pada tahun 2021 hutang negara bertambah RM100 billion, manakala pada tahun ini pula kata cuma tambah RM86 bilion. 

“Mengikut formula Perdana Menteri itu sendiri, hutang negara telah turun yang mana tahun lepas berkata kerajaan tidak akan tambah hutang tetapi tahun ini tambah lagi sebanyak RM86 bilion. 

“Saya tidak tahu celah mana yang dikatakan mengurang hutang negara itu,” katanya dalam akaun media sosial Facebooknya, hari ini.

Menurut beliau, hutang negara menjadi RM1.22 trilion pada tahun ini berbanding dengan RM1.17 trilion jelas menunjukkan berlakunya penambahan dan bukannya pengurangan.

Tambahnya, apabila kerajaan mula menambah hutang RM86 billion pada tahun ini berbanding dengan RM100 billion tahun 2021, maka ini jelas menunjukkan kerajaan masih menambah hutang walaupun hanya nilai hutang yang diambil sahaja yang berkurangan.

“Ia seolah-olah pada tahun lepas kamu ambil hutang beli kereta harga RM100,000 dan kemudian tahun ini pula kamu ambil lagi hutang beli kereta RM86,000. 

“Ini menunjukkan bahawa hutang semakin bertambah, bukannya berkurangan.

“Kita harus faham bahawa tahun 2021 itu adalah tahun pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang mana sememangnya kerajaan terpaksa berhutang lebih untuk menangani wabak berkenaan dan negara-negara lain di seluruh dunia juga membuat perkara sebegitu.

“Perdana Menteri membuat dakwaan bahawa kerajaan terpaksa membayar semula hutang-hutang negara yang lepas sebanyak RM48 billion setahun akan tetapi beliau bertanggungjawab menambah hutang tersebut.

“Setelah dua tahun menjadi Perdana Menteri sahaja. kerajaan telah pun menambah hutang negara menjadi antara yang paling besar dalam sejarah iaitu sebanyak RM80 bilion hingga RM100 bilion setahun yang sememangnya perlu dibayar oleh kerajaan-kerajaan akan datang. 

“Semasa saya dalam kerajaan dahulu iaitu antara tahun 2008 hingga 2018, kerajaan hanya berhutang dalam purata RM40 billion setahun tetapi kerajaan di bawah Perdana Menteri terkini hutang negara meningkat sebanyak dua kali ganda,” ujarnya.

Sehubungan itu, Isham menyatakan kerajaan sering mencari alasan dengan menyalahkan mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak iaitu gara-gara hutang 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Namun, kata beliau lagi, kerajaan tidak mahu menjual aset-aset yang berkaitan 1MDB seperti bangunan Tun Razak Exchange (TRX) kerana menyatakan aset-aset tersebut menjana keuntungan yang banyak.

“Ini seolah-olah kamu membeli bangunan kedai dengan berhutang bank dan sewakan bangunan tersebut. 

“Kemudian, kamu meroyan terpaksa bayar hutang bank tetapi duit sewa dan untung yang kamu dapat bulan-bulan daripada bangunan tersebut kamu diamkan sahaja,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, kerajaan bukan sahaja menambah hutang negara tetapi juga menaikkan harga minyak diesel yang tertinggi dalam sejarah iaitu daripada RM1.20 kepada RM3.35 seliter serta menaikkan cukai-cukai lain yang terpaksa ditanggung oleh rakyat biasa.

“Perkara ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan pada hari ini adalah kerajaan belanja besar, berhutang besar, mengenakan cukai yang besar, menaikkan harga minyak, mungkir janji dan menekan rakyat itu sendiri.

“Ini sememangnya berbeza dengan apa yang dijanjikan sebelum memegang pentadbiran kerajaan persekutuan negara ini. Jika keadaan ini berterusan ekonomi negara akan menjadi lebih teruk dan kehidupan rakyat akan menjadi semakin muram.

“Maka, pentingnya untuk kita menyelamatkan negara ini daripada mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/7/2024













........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo