KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke perlu kembali kepada asas kompas moral iaitu kanak-kanak tidak sepatutnya didedahkan dengan jenama arak seawal usia mereka, apatah lagi di dalam sekolah.

Ketua Armada BERSATU, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, isu itu bukan soal kaum atau sekolah jenis kebangsaan, tetapi soal untuk melindungi generasi masa hadapan daripada ancaman bahaya arak dan kesan negatif kepada kehidupan.

“Menormalisasikan kanak-kanak kepada arak pada usia muda amat mendukacitakan dan bukanlah langkah terbaik untuk generasi pelapis kita,” ujar Ahli Parlimen Machang itu kepada Anthony yang juga Menteri Pengangkutan.

Tegas Wan Ahmad Fayhsal, perkara tersebut selaras dengan garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia yang melarang penglibatan mana-mana syarikat arak dalam program sekolah.

Dalam masa yang sama beliau menyeru penglibatan daripada syarikat korporat lain untuk membantu sekolah vernakular bagi mendapatkan dana tambahan untuk pengoperasian sekolah mereka.

“Ini dapat mengelakkan penglibatan syarikat arak dalam aktiviti sekolah. Saya berharap Menteri Pendidikan akan bertegas mengenai perkara ini dan tidak akan membuat keputusan u-turn hanya semata-mata memenuhi kehendak beberapa pihak yang mempunyai kepentingan tertentu,” tegasnya. 

Sumber | HARAKAHDAILY