NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Anwar sindir Syed Saddiq belari ‘meminta-minta’

Anwar Ibrahim berkata mana-mana wakil pembangkang harus segera berunding dengan kerajaan bukan menganjurkan program larian, merujuk kepada tindakan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.


KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat pagi ini bermula gamat apabila Perdana Menteri Anwar Ibrahim secara sinis menegur blok pembangkang supaya segera berunding mengenai peruntukan, berbanding mengadakan acara larian untuk menuntutnya.

Menjawab soalan Awang Hashim (PN-Pendang) yang menuntut peruntukan kepada pembangkang disegerakan, Anwar menjelaskan kerajaan tidak menetapkan syarat untuk menyokong beliau sebagai balasan mendapatkan peruntukan, sebaliknya ‘hanya berunding dan berbincang’.

“Jadi saya menyeru kepada saudara Pendang, kalau boleh sampaikan ini kepada semua wakil parti , segerakan perbincangan supaya hal ini tidak lagi jadi isu yang memanaskan suhu di dewan ini

“Tak payah berlari ke berjoging ke, tak payah… pergi runding… bincang selesai,” kata Anwar yang juga menteri kewangan pada sesi pertanyaan perdana menteri.

Bagaimanapun, Anwar tidak menyebut nama wakil rakyat atau program larian untuk menuntut peruntukan pembangkang terbabit.

Pada 1 Jul lalu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) menamatkan larian sejauh 200 kilometer (km) dari Muar ke Parlimen yang berjaya mengutip hampir RM160,000.

Acara larian digelar ‘Langkah Muar’ itu dianjurkan sebagai protes susulan wakil rakyat pembangkang tidak diberikan bantuan peruntukan RM20 juta sepenggal.

Kerajaan melantik Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof untuk berunding dengan pembangkang sebelum menandatangani memorandum persefahaman (MoU) seperti dilaksanakan ketika pentadbiran Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.

Syed Saddiq kemudian bangun mencelah dan menjelaskan beliau telah pun berunding dengan Fadillah beberapa kali mengenainya namun masih tiada maklum balas positif.

“Sebanyak dua kali secara fizikal dan melalui perutusan surat sebanyak tiga kali tetapi saya dimaklumkan perlu dapatkan pengesahan dari Kabinet dan daripada YAB PM sendiri,” katanya.

Anwar kemudian menjelaskan rundingan peruntukan tidak boleh dibuat secara berasingan mengikut parti, namun perlu berunding sebagai ‘pembangkang’.

Menurutnya, syarat-syarat yang terkandung dalam rundingan itu juga mematuhi amalan demokrasi berparlimen yang diamalkan oleh mana-mana negara demokrasi.

“Pandangan kita, bukan berunding secara berasingan tetapi kita lakukan seperti mana kita lakukan daripada awal iaitu mengikut parameternya.

“Sebenarnya tak susah pun, saya ingat ini ada sikap kurang positif,” katanya sambil merujuk situasi rundingan yang berjalan lancar ketika beliau selaku ketua pembangkang bersama pentadbiran Ismail Sabri.

“Saya tak faham kenapa proses ini jadi rumit, tetapkan saja tarikh runding. Pembangkang, ketua pembangkang, wakil-wakil parti harus menetapkan wakil untuk berbincang dengan TPM2 yang kita tugaskan,” tegasnya.



Sumber | FMT Malaysia 










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo