NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Agamawan Yahudi gesa teruskan boikot syarikat terpalit Israel



Seorang rabai Yahudi hari ini menggesa penyokong perjuangan Palestin untuk terus memboikot syarikat yang dilihat bersekutu dengan Israel, dengan mengatakan ia seiring dengan usaha menamatkan penjajahan regim Zionis itu.

Rabai Yisroel Dovid Weiss, agamawan Yahudi yang terkenal dengan bantahan kerasnya terhadap fahaman Zionisme dan pendudukan Israel di wilayah Palestin, diminta mengulas kontroversi melibatkan keputusan kerajaan Malaysia berurusan dengan sebuah syarikat milik BlackRock, dana gergasi dari Amerika Syarikat yang berdepan tuduhan bersubahat dalam jenayah perang Israel.

Weiss berkata beliau tidak berniat untuk mengarahkan apa yang perlu dilakukan oleh mana-mana kerajaan.

Bagaimanapun, menurutnya, tindakan berdamping dengan syarikat pro-Israel adalah sama dengan menyokong penjajahan Israel.

"Amat jelas bahawa orang ramai tidak sepatutnya menyokong penjajahan tersebut. Ini juga bermakna mereka tidak patut menyokong syarikat yang menyokong penjajahan itu.

"Mereka (Zionis) merupakan sebuah entiti jenayah dan oleh itu apa yang terpancar daripada mereka secara logiknya salah, dan secara logiknya anda tidak patut menyokongnya," kata Weis kepada MalaysiaNow selepas berucap di sebuah kolokium mengenai Palestin di Putrajaya hari ini.

Program anjuran Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan itu sepatutnya turut menampilkan Dr Mahathir Mohamad, tetapi bekas perdana menteri itu tidak dapat hadir kerana masih berehat di Institut Jantung Negara.

"Kita mesti mempertanggungjawabkan Israel atas kejahatan dan kebiadaban mereka dan menghukumnya. Saya merayu atas nama peri kemanusiaan, tolong, tolong hentikan pembunuhan beramai-ramai!" kata Mahathir dalam perutusan yang dibacakan pengerusi PGPF Norian Mai, yang juga bekas ketua polis negara.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berdepan kecaman daripada kumpulan pro-Palestin berhubung rancangannya membawa masuk Global Infrastructure Partners (GIP) milik BlackRock menjadi rakan konsortium pengurusan lapangan terbang di seluruh negara.

Di bawah pelan tersebut, GIP akan mengambil alih 30% kepentingan dalam konsortium menguruskan Malaysia Airports Holdings, bersama-sama Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, kedua-duanya agensi di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan yang diterajui Anwar.

Anwar telah berulang kali mempertahankan rancangan itu dengan alasan kerajaan tidak boleh memutuskan hubungan dengan syarikat yang berurusan dengan Israel, di samping langkah tersebut akan "menjejaskan ekonomi negara".

Beliau turut mendakwa pemimpin Hamas tidak mempunyai masalah apabila Malaysia menjalankan perniagaan dengan syarikat pro-Israel.

Pada hari sama, Hamas mengeluarkan kenyataan menggesa negara Islam dan penyokong Palestin meneruskan boikot terhadap Israel dan mana-mana pihak yang menyokongnya. Ia turut menyifatkan kempen global setakat ini telah mencapai "kejayaan penting dalam menjejaskan ekonomi entiti itu, mengasingkannya, dan memadamkan legitimasinya".

Weiss, seorang Yahudi Ortodoks aliran Haredi dari Amerika, telah sekian lama membantah kewujudan negara Israel, dengan berkata penubuhan sebuah negara untuk kaum Yahudi adalah bertentangan dengan ajaran Yahudi sendiri.

Menurutnya, penganut Yahudi adalah antara yang pertama memboikot Israel.

"Kami tidak membeli produk, terutamanya yang berasal dari penempatan haram, dan kami berhati-hati untuk tidak menggunakan produk buatan Israel," tambahnya.

Beliau berkata Amerika Syarikat menyaksikan bantahan besar-besaran terhadap kempen ketenteraan Israel di Gaza, di mana sekurang-kurangnya 35,000 orang awam Palestin telah terbunuh sejak Oktober tahun lalu.

"Kami memberikan sokongan kepada perkhemahan pelajar universiti dan memberitahu orang ramai bahawa mereka tidak perlu gentar, walaupun mereka dituduh anti-Semitik.

"Kami sentiasa menawarkan bantuan kami. Sering kali mereka dihadapkan ke mahkamah, dituduh anti-Semitik, dan kami bersedia untuk membela mereka, dan menjelaskan tindakan mereka bukan anti-Semitik," katanya.

Sementara itu, kolokium hari ini turut menyaksikan pengerusi pergerakan anti-Israel BDS Malaysia menyelar Putrajaya dalam isu jualan saham kepada GIP-BlackRock.

Pengerusinya Nazari Ismail berkata kerajaan sedia maklum BlackRock terpalit dengan pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlaku di Gaza.

"Kami terkilan kerana ketika berbicara untuk menamatkan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, mengapa pula mengadakan perjanjian dengan pihak yang membantu pembunuhan beramai-ramai?" soal Nazari.

"Kerajaan Malaysia harus memberitahu BlackRock: 'Maaf, anda terlibat dalam pencabulan hak asasi manusia di Gaza. Oleh itu, kami tidak berurusan dengan anda'.

"Saya tak faham kenapa mereka (Putrajaya) tak berkata begitu pada masa ini,” katanya.

Maksud sebenar 'Free Palestine'

Terdahulu dalam ucapannya, Weiss memuji Mahathir kerana kelantangannya menentang Israel.

"Saya secara peribadi bertuah bertemu dengannya lebih 10 tahun lalu, dan kami berbincang mengenai agama Yahudi, dan perbezaannya dengan ideologi Zionis. Dr Mahathir seorang yang bijaksana dan memahami sepenuhnya dan ucapannya amat jelas. Saya memang teruja," kata rabai berusia 68 tahun itu.

Weiss berkata slogan "Free Palestine" sepatutnya membawa maksud negara Israel dihapuskan.

"Di sini, kami sebagai penganut Yahudi ingin menjelaskan bahawa, sejajar dengan ajaran Yahudi, kami tidak boleh menerima bahawa (slogan itu) bermaksud penyelesaian dua negara. Kami tak faham bagaimana nama agama kami dipergunakan, dengan dakwaan kononnya mereka ada hak merampas separuh daripada tanah Palestin.

"Ini tidak boleh diterima, ini bukan ajaran Yahudi, ini bertentangan dengan teras agama Yahudi,” katanya sambil menambah konsep sebuah negara bagi orang Yahudi adalah bertentangan dengan ajaran kitab Taurat.

"Zionisme adalah transformasi agama Yahudi kepada nasionalisme,” katanya.

"Jangan cuba mengaitkan gerakan Zionisme ini dengan sebuah agama yang berusia 3,000 tahun."



Sumber | MalaysiaNow












........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo