NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Teliti kaedah penyasaran subsidi diesel elak rakyat makin terhimpit



KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyarankan supaya kaedah pelaksanaan penyasaran subsidi diesel diteliti bagi mengurangkan kesan berangkai terhadap rakyat yang kini bergelut dengan peningkatan kos sara hidup.

Menurutnya, kesan berangkai akibat peningkatan mendadak harga diesel mula dirasai susulan pengumuman kenaikan harga barangan dan perkhidmatan oleh beberapa penyedia dan pengeluar.

"Apa yang berlaku ini memeritkan bagi rakyat yang terpaksa berdepan peningkatan harga mendadak.

"Kalau (kenaikan harga diesel) secara berperingkat mungkin kesan itu boleh diserap dengan mudah dalam kalangan pengguna terutama pengguna yang berkapasiti tidak terlalu besar

"Persoalan ini yang saya rasa tidak mudah untuk diselesaikan. Saya ucap 'good luck' kepada pentadbiran (Kerajaan Persekutuan)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir ke Program 'Conference Of Head Of Academic Departments 2024' (CHAD 2024) di sini, pada Rabu.

Ahmad Samsuri berkata, beliau pada dasarnya bersetuju dengan penyasaran subsidi tersebut namun kerajaan perlu meneliti kaedah pelaksanaannya agar rakyat tidak terbeban.

"Kita sedar penyasaran subsidi memang perlu dilakukan kerana telah berlaku kebocoran (sebelum ini) kerana tanpa disedari, kita membiayai syarikat-syarikat yang tiada kena-mengena dengan kita, orang-orang luar dari negara kita dan sebagainya.

"Tapi yang paling penting ialah untuk mengurangkan kesan kepada rakyat dan itu yang saya rasa perlu diberi keutamaan sekarang ini," katanya.

Selain itu, katanya, cadangan daripada pelbagai pihak agar ia dibuat secara bertahap bagi mengurangkan kesan terhadap rakyat.

"Saya tak pasti sama ada peringkat pentadbiran Persekutuan telah mengkaji sedalamnya pelaksanaan yang terbaik.

"Kalau dalam keadaan berhadapan kos sara hidup yang tinggi sekarang ni, mungkin pelaksanaannya ketika ini bukan waktu terbaik," katanya.

Harga diesel tanpa subsidi mula dijual pada kadar RM3.35 seliter oleh semua stesen minyak runcit di seluruh Semenanjung Malaysia bermula Isnin lalu.

Penyasaran subsidi diesel itu dijangka dapat menjimatkan RM4 bilion serta memberi ruang fiskal yang lebih luas kepada kerajaan dalam usaha meningkatkan lagi kualiti pelbagai perkhidmatan yang menjadi kepentingan rakyat.


Sumber | Sinar Harian 









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo