Seorang jemaah haji menuangkan air ke atas kepalanya untuk menyejukkan badan daripada kepanasan, ketika mengambil bahagian dalam ibadah haji tahunan di Mina, Arab Saudi. - Foto REUTERS
Seorang jemaah haji menuangkan air ke atas kepalanya untuk menyejukkan badan daripada kepanasan, ketika mengambil bahagian dalam ibadah haji tahunan di Mina, Arab Saudi. - Foto REUTERS

RIYADH: Sekurang-kurangnya 550 jemaah meninggal dunia ketika menunaikan ibadah haji pada tahun ini di Makkah akibat panas terik yang menyebabkan bahang suhu melampau, menurut laporan akhbar dan Kementerian Luar Arab Saudi.

Beberapa diplomat memberitahu AFP bahawa 323 jemaah terbabit adalah warga Mesir, yang kebanyakannya menderita akibat penyakit berkaitan haba, lapor AFP, yang memetik dua diplomat Arab.

TV kerajaan Arab Saudi berkata, suhu meningkat pada hari Isnin setinggi 51.8 darjah Celsius di Masjidil Haram di Makkah.

Kajian 2024 oleh Journal of Travel and Medicine mendapati bahawa peningkatan suhu global mungkin mengatasi strategi untuk menangani haba.

Kajian 2019 oleh Geophysical Research Letters mengatakan apabila suhu meningkat di Arab Saudi yang gersang akibat perubahan iklim, jemaah haji berkemungkinan menghadapi 'bahaya kepanasan yang melampau'.

Sementara itu, seramai 144 jemaah Indonesia dilaporkan meninggal dunia diikuti 35 jemaah Tunisia, Iran (11 jemaah), Jordan (enam jemaah) dan Senegal (tiga jemaah).

Jemaah haji tiba untuk melakukan ibadah melontar jamrah di Mina, berhampiran kota suci Makkah, Arab Saudi. - Foto AFP
Jemaah haji tiba untuk melakukan ibadah melontar jamrah di Mina, berhampiran kota suci Makkah, Arab Saudi. - Foto AFP

Seorang pegawai kesihatan Arab Saudi berkata, sebelum banyak laporan kematian dikeluarkan oleh agensi berita setiap negara, pihak berkuasa tidak menyedari sebarang kematian luar biasa dalam kalangan jemaah haji di tengah-tengah suhu yang sangat tinggi.

Kebanyakan kematian itu disebabkan oleh cuaca panas melampau, kata ahli keluarga di media sosial, ketika keluarga lain terus mencari saudara yang hilang di hospital Arab Saudi.

Sejumlah 24 rakyat Iran dimasukkan ke hospital semasa menunaikan haji, lapor berita Iran IRINN pada hari Selasa tanpa menyatakan puncanya.

Kementerian itu berkata, setakat ini ia sudah merawat lebih 2,700 jemaah haji yang menghidap pelbagai penyakit berkaitan kepanasan.

"Haji adalah tugas yang sukar. Jadi, anda perlu berusaha dan melakukan ibadah walaupun dalam keadaan panas dan sesak," menurut seorang jemaah Mesir kepada Reuters.

Jemaah haji menggunakan payung untuk melindungi diri mereka daripada matahari, ketika pihak berkuasa Arab Saudi memberi amaran supaya mereka kekal terhidrasi dan mengelak daripada berada di luar rumah pada waktu paling panas antara 11 pagi dan 3 petang (waktu tempatan).

Lebih 1.8 juta jemaah menunaikan haji tahun ini, menurut Pihak Berkuasa Am Arab Saudi untuk Statistik. - REUTERS