Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah (kiri) isytihar kerusi DUN Nenggiri disandang Mohd Azizi Abu Naim (kanan) dari BERSATU dikosongkan mulai semalam. - Foto NSTP
Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah (kiri) isytihar kerusi DUN Nenggiri disandang Mohd Azizi Abu Naim (kanan) dari BERSATU dikosongkan mulai semalam. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Proses pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri masih boleh diadakan seperti biasa walaupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim, mahu mencabar keputusan pengosongan kerusi itu di mahkamah.

Profesor Madya Undang-Undang, Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof, berkata ini kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak terikat dengan sebarang tindakan mahkamah dan perlu meneruskan proses mengadakan PRK sebaik sahaja menerima notis daripada Speaker DUN Kelantan.

Mengulas lanjut, Muhammad Fathi berkata, pihaknya percaya langkah sama iaitu pengosongan enam kerusi Parlimen dan satu kerusi DUN di Selangor akan turut dilakukan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Speaker DUN Selangor, Lau Weng San.

"Ini kerana keputusan dibuat Speaker DUN Kelantan ini sesuai dengan prinsip terkandung dalam pindaan Perlembagan berkaitan undang-undang anti lompat parti.

"Jika selepas PRK dilaksanakan dan didapati ADUN berkenaan menang kes, maka mahkamah boleh membuat pengisytiharan bahawa keputusan PRK itu dibatalkan...ini pernah berlaku dalam beberapa kes sebelum ini.

"Namun, saya berpendapat tindakan Speaker itu adalah tepat seperti mana yang diperuntukkan dalam undang-undang negeri Kelantan dan amat sukar untuk permohonan Mohd Azizi diterima di mahkamah," katanya kepada BH, hari ini.

Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada sidang media di pejabatnya, mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan berkuat kuasa semalam.

Keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh daripada ADUN Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim pada 13 Jun dan BERSATU pada 12 Jun lalu, yang memaklumkan hilang keahlian BERSATU dan seterusnya berlaku kekosongan luar jangka kerusi berkenaan.

Susulan itu, Mohd Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, berhasrat membawa kes terbabit ke mahkamah.

Pada masa sama, mengulas lebih lanjut mengenai keputusan Speaker itu, Muhammad Fathi berkata, ia menepati kehendak pindaan Perlembahaan berkaitan undang-undang anti lompat parti.

"Sewaktu bertanding, ADUN berkenaan mewakili parti BERSATU walaupun menggunakan simbol PAS. Soal simbul tidak diambil kira dalam peruntukan Perlembagaan berkaitan lompat parti ini.

"Oleh itu, tindakan beliau membelakangi keputusan BERSATU menjadikan dirinya memenuhi kriteria sebagai seseorang yang tidak lagi menganggotai parti itu, lantas menjadikan kerusi perlu diisytiharkan kosong," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), Prof Kartini Aboo Talib, berkata kes di Nenggiri boleh menjadi rujukan kepada enam ahli Parlimen dan seorang ADUN di Selangor yang bertindak melanggar Perlembagaan parti.

Beliau berkata, semua Ahli Parlimen itu dan ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari, harus menyatakan pendirian mereka jika diminta secara bertulis dalam hal ini.

"Tindakan Speaker DUN adalah mematuhi syarat fasal (3) Perkara 31A bahawa berlaku kekosongan luar jangka dan pengisytiharan juga dimaklumkan secara bertulis.

"Saya kira tiada kesalahan teknikal di sini, jelas ADUN Nenggiri melanggar Perlembagaan parti beliau dan secara automatik terkeluar sebagai ahli, dan bukannya dipecat," katanya.

Kartini berkata, jika ADUN Nenggiri ingin mencabar keputusan ini, ia boleh dibenarkan sekiranya ada keraguan terhadap interpretasi undang-undang itu.

"Menang atau kalah bergantung kepada sejauh mana pihak bakal plaintif boleh membuktikan 'legal standing' (kedudukan undang-undang terhadap tuntutan terbabit," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN BERSATU sudah digugurkan keahliannya serta-merta.

Selain Mohd Azizi, lima ahli Parlimen lain iaitu dari Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Sumber | Bharian