Penyerang Republik Czech, Patrik Schick diasak pertahanan Portugal, Nuno Mendes (kanan) ketika aksi Kumpulan F Euro 2024 di Stadium Leipzig, Leipzig. - Foto AFP
Penyerang Republik Czech, Patrik Schick diasak pertahanan Portugal, Nuno Mendes (kanan) ketika aksi Kumpulan F Euro 2024 di Stadium Leipzig, Leipzig. - Foto AFP

LEIPZIG: Portugal bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Republik Czech 2-1 dalam saingan Kumpulan F Euro 2024 di Stadium Leipzig sebentar tadi.

Selepas babak pertama berakhir tanpa jaringan, dengan beberapa percubaan Portugal dinafikan penjaga gol Republik Czech, Jindrich Stanek, skuad kendalian Ivan Hasek akhirnya memecah kebuntuan menerusi Lukas Provod pada minit ke-62.

Portugal bagaimanapun kembali menyamakan kedudukan selepas Nuno Mendes menanduk bola ke depan gawang Rep Czech, dan Stanek sekadar menampan bola ke kaki Robin Hranac dan menerjah gawang sendiri.

Jaringan itu merancakkan lagi asakan Portugal yang berjaya meledak gol kedua menerusi Diogo Jota, tetapi jaringan berkenaan dibatalkan VAR selepas Cristiano Ronaldo didapati berada dalam kedudukan ofsaid.

Portugal terus berusaha mencari jaringan dan Francisco Conceicao memastikan kemenangan buat skuad kendalian Roberto Martinez dalam masa kecederaan.

Perlawanan itu juga menyaksikan pertahanan Portugal, Pepe melakar sejarah sebagai pemain paling tua beraksi di Kejuaraan Eropah pada usia 41 tahun 113 hari.

Portugal akan bertemu pendahulu kumpulan, Turkiye pada aksi kedua Sabtu ini. - AGENSI