NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Penyasaran diesel: Keputusan tidak popular, kerajaan tidak perlu buat pusingan U

Parlimen Pasir Gudang, Kota Puteri, Pasir Gudang pada Rabu



PASIR GUDANG - Kerajaan tidak perlu mengkaji atau melakukan pusingan U selepas melaksanakan Sistem Kawalan Diesel Subsidi (SKDS) hanya kerana desakan mereka yang tidak bersetuju atau selepas teruk menerima kritikan pelbagai pihak.

Sebaliknya Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, kerajaan perlu tegas dan konsisten walaupun keputusan tersebut tidak popular atau memberi kesan dalam pilihan raya umum (PRU) nanti.

Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian itu berpendapat, keputusan kerajaan adalah tepat dan bertanggungjawab dalam menyelamatkan ekonomi serta negara untuk tempoh jangka masa yang panjang.

"Saya yakin rakyat faham kerana mereka dapat menilai. Pelaksanaan subsidi bersasar ini adalah satu dasar yang baik dan merupakan satu bentuk 'reform'.

"Ini kerana hanya golongan yang hanya betul-betul layak akan menerimanya. Keputusan ini terpaksa dilakukan kerana kerajaan sudah tidak mampu menanggung subsidi pukal berturusan.

"Bukan bermakna subsidi terus dihapuskan, subsidi diteruskan tetapi untuk golongan sasar sahaja," katanya kepada pemberita selepas Wacana Isu Bersubsidi Beban Atau Sebaliknya di Pejabat Parlimen Pasir Gudang, Kota Puteri di sini pada Rabu.

Pada Ahad, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan harga diesel di semua stesen runcit di Semenanjung di tetapkan pada kadar RM3.35 seliter iaitu harga pasaran tanpa subsidi.

Pelaksanaan subsidi bersasar antara langkah pembaharuan kerajaan di bawah rangka kerja Ekonomi Madani bagi memastikan pengurusan fiskal yang mampan dan menangani isu ketirisan serius dalam sistem tanpa menjejaskan kebajikan rakyat.

Selaras dengan langkah itu berkuat kuasa pada Isnin, pengguna yang layak menerima bantuan tunai Budi Madani sebanyak RM200 sebulan.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, langkah kerajaan itu secara tidak langsung akan dapat meyakinkan negara luar terutama pelabur kerana mampu mengurus ekonomi dengan baik.

Beliau tidak bimbang sekiranya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau Pas menjadikan isu itu sebagai modal politik ketika berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakal yang sedang rancak ketika ini.

Menurutnya, apa yang lebih penting adalah keutamaan rakyat serta usaha menyelamatkan negara dan isu tersebut tidak perlu dipanjangkan.

"Kalau nak dibandingkan harga diesel sekarang di Malaysia iaitu RM3.35 seliter masih murah berbanding negara jiran contohnya Singapura RM8.79 seliter; Indonesia RM4.43 seliter; Myanmar RM 5.40 seliter; Filipina RM 4.75 seliter atau Thailand RM 4.24 seliter," ujarnya.



Sumber | Sinar Harian 



 



 


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo