NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pemutihan tahfiz: 724 tahfiz persendirian belum daftar di bawah JAIS



SHAH ALAM - Sebanyak 724 Institusi Tahfiz Persendirian (ITP) yang beroperasi di negeri ini dikesan masih belum berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, rekod itu berdasarkan angka awal yang disediakan oleh Persatuan Institusi Tahfiz Selangor (PITAS) setakat 31 Mac lalu.

Menurutnya, ITP terbabit diminta membuat pendaftaran dengan JAIS melalui PITAS bagi melayakkan institusi tahfiz mengikut Program Pemutihan Sekolah Agama (Institusi Tahfiz) Persendirian Negeri Selangor.

"Program pemutihan ini akan diselaraskan oleh PITAS yang akan bertindak sebagai One-Stop Agency (OSA) yang akan menyelaras penyediaan dokumentasi permohonan pemutihan yang dikemukakan oleh ITP.

"PITAS akan menerima semua dokumen yang telah disediakan oleh ITP untuk dikemukakan kepada PBT bagi tujuan kelulusan kebenaran merancang tempoh terhad (KMTT)," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, tempoh kelulusan KMTT bagi tujuan pemutihan tahfiz persendirian hanya minimum selama tiga tahundari tarikh kelulusan diberikan oleh PBT.

Justeru, katanya, perlaksanaan KMTT itu bertujuan memberi peluang kepada PBT untuk melaksanakan perancangan semula sesuatu kawasan di samping memberi peluang kepada pengusaha atau pun tuan tanah untuk menjalankan aktiviti-aktiviti berdasarkan tempoh masa ditetapkan.

Selain itu, beliau berkata, KMTT juga memberi peluang kepada pengusaha atau tuan tanah untuk menjalankan aktiviti-aktiviti bersifat sementara di atas lot tanah yang mana zon perancangan guna tanah ditetapkan di dalam Rancangan Pemajuan adalah tidak selaras.

"Melalui pemberian KMTT ia membolehkan PBT mengenakan bayaran sesuai terhadap pembangunan bersifat sementara.

"Pada masa sama perancangan dan pembangunan bagi sesuatu kawasan dapat dikawal bagi suatu tempoh ditetapkan," jelas beliau.

Dalam pada itu, Mohammad Fahmi berkata, perlaksanaan KMTT juga memberi peluang kepada pengusaha dan PBT melalui kaedah perundingan.

Jelas beliau, dalam tempoh KMTT, ITP perlulah mematuhi semua syarat-syarat kelulusan yang diberikan oleh PBT.

"Ketidakpatuhan syarat KMTT yang diberikan akan membolehkan PBT menamatkan KMTT pada bila-bila masa.

"Sebaliknya, bagi ITP yang memenuhi syarat KMTT, ia layak dipertimbangkan untuk permohonan kebenaran merancang penuh kepada PBT atau sebagai justifikasi kepada pelanjutan tempoh KMTT sekiranya dimohon oleh pengusaha tahfiz," tambahnya.

Garis Panduan dalam Program Pemutihan ITP telah melalui suatu sesi libat urus pada 10 Mei 2024 melibatkan PlanMalaysia Selangor, PBT, JAIS, PITAS, Persatuan Juruukur Tanah Bertauliah Malaysia (PEJUTA) dan Malaysian Institute of Planners (MIP) bagi tujuan penyelarasan tindakan.

Program Pemutihan disediakan itu membantu kerajaan Selangor dan PBT di negeri ini menyelaraskan tindakan pemutihan ITP yang telah dibina dan beroperasi sehingga 31 Disember 2023 tetapi tidak mendapat kelulusan daripada PBT.

Program pemutihan itu dijalankan bagi memastikan ITP mematuhi syarat minimum kebenaran merancang oleh PBT bagi membantu pengusaha pengusaha tahfiz persendirian meneruskan operasi secara sementara, seterusnya menerima bantuan daripada JAIS.



Sumber | Sinar Harian





 



 


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo