NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Malaysia mesti terus tolak tuntutan China di Laut China Selatan, kata pakar

Pakar maritim Toshi Yoshihara berkata, tindakan memuaskan China adalah seperti berurusan dengan cukai, sama ada bayar sekarang, atau kemudian dengan penalti.


KUALA LUMPUR: Malaysia mesti terus menolak tuntutan China ke atas Laut China Selatan dengan tegas, kata seorang pakar maritim.

Toshi Yoshihara, felo kanan Pusat Penilaian Strategik dan Belanjawan (CSBA) berkata, tindakan akur kepada dasar dan kemahuan China berhubung Laut China Selatan tidak akan ‘memuaskan’ cita-cita kuasa besar itu.

“Dasar memuaskan China adalah berurusan dengan cukai, sama ada bayar sekarang atau bayar kemudian dengan penalti.

“Dan selalunya penalti akan datang dalam bentuk pengorbanan,” katanya pada sesi libat urus dengan media terpilih.

Katanya, tindakan memuaskan hati atau mengikut kehendak selalunya akan ‘lebih membangkitkan selera’ pihak yang hendak dipuaskan itu.

Yoshihara mengulas kenyataan Dr Mahathir Mohamad bahawa negara lain tidak perlu menerima tuntutan China ke atas Laut China Selatan.

Pada Ogos 2023, Kementerian Luar berkata, Malaysia tidak mengiktiraf peta piawai China 2023, yang menunjukkan beberapa bahagian perairan Malaysia berhampiran Sabah dan Sarawak sebagai milik China.

Menegaskan bahawa peta itu ‘tidak mengikat Malaysia’, Wisma Putra bagaimanapun mengakui sifat kompleks dan sensitif tuntutan bersaing ke atas Laut China Selatan.

Beijing menanda garisan ‘nine-dash’ untuk menegaskan ‘tuntutan bersejarahnya’ ke atas 90% perairan yang dipertikaikan. Sementara itu, Brunei, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam juga menuntut bahagian-bahagian lebih kecil di Laut China Selatan.

Mahathir pada sidang tahunan ‘Future of Asia’ Nikkei di Tokyo bulan lepas berkata: “Baiklah, (China) boleh tuntut. Kami tidak terima tuntutan anda tetapi kami tidak perlu berperang melawan anda disebabkan tuntutan itu.”

“(China) mendakwa Laut China Selatan adalah milik mereka, tetapi mereka tidak menghalang kapal daripada melaluinya,” katanya.

Tambahnya, Malaysia turut melombong minyak dan gas dari perairan itu, tetapi “setakat ini, (China) tidak melakukan apa-apa”.

“Selagi tiada halangan bagi kapal melalui Laut China Selatan, sudah cukup baik,” kata bekas perdana menteri itu, lapor Radio Free Asia.

Ditanya bagaimana Malaysia boleh mengekalkan hubungan perdagangan yang baik dengan China seiring menjaga kedaulatan maritimnya, Yoshihara berkata, Malaysia, seperti negara lain, mesti mengimbanginya dengan teliti dan bergantung kepada Amerika Syarikat untuk keselamatan serantau.

Beliau juga berkata, beberapa ahli akademik mencadangkan, untuk memelihara keamanan dan kestabilan di rantau ini, China dan AS harus memeterai perjanjian diplomatik perkongsian kuasa, atau ‘grand bargain’, sebelum terlambat.

“(Mereka mendakwa) China mungkin jadi begitu kuat sehingga ia mampu menentukan syarat untuk rantau itu, dan AS mungkin tidak dapat berbuat apa-apa mengenainya.”

Bagaimanapun, untuk perjanjian sedemikian dilaksanakan, beberapa konsesi perlu diberikan kepada China, termasuk di Laut China Selatan.

Yoshihara berkata, masalah dengan ‘grand bargain’ adalah akan sentiasa ada pihak yang menang dan kalah.

“Yang kalah lazimnya kuasa lebih kecil dan kuasa pertengahan, seperti Malaysia, Filipina dan Taiwan.”



Sumber | FMT Malaysia 








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo