NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerusi DUN Nenggiri: Boleh bawa ke mahkamah jika terkait dengan perundangan – Shamrahayu

Pakar Perlembagaan, Prof Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz

Oleh: Hilmi Abdul Malik

PETALING JAYA: Pengisytiharaan kekosongan kerusi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri boleh dirujuk ke mahkamah sekiranya ia membabitkan hal perundangan.

Pakar Perlembagaan, Prof Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata, jika ia terkait dengan hal undang-undang maka hal ini boleh dirujuk ke mahkamah.

“Ini adalah urusan parti politik tetapi kalau penafsiran berkaitan dengan perlembagaan yang berkaitan dengan undang-undang, ia boleh bawa ke mahkamah pada pandangan saya.

“Jika dia berkaitan dengan amalan dalam parti itu maka urusan politik tidak seharusnya dibincangkan atau dibicarakan di mahkamah,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3 hari ini.

Mengulas mengenai keputusan DUN Kelantan yang mengosongkan kerusi berkenaan, beliau berkata tindakan itu juga dibuat mengikut peruntukan sedia ada dan tidak seharusnya menjadi kekeliruan.

“Bila parti itu (Bersatu) menyatakan dia (Azizi) telah terhenti menjadi ahli parti kerusi itu maka boleh diisytiharkan kosong oleh YB Speaker. Kalau dia dipecat dari parti dia perlu guna istilah yang betullah oleh parti, maknanya dia masih memegang atau menjadi ahli dewan.

“Sekiranya dia terhenti menjadi ahli parti maka dia tidak lagi mempunyai kerusi atau erti kata lain kerusinya menjadi kosong jadi kena ikutkan dari segi peruntukan dalam perlembagaan parti itu sendirilah,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Shamrahayu turut menjelaskan, kedua-dua istilah tersebut juga perlu melalui proses yang berbeza.

“Kita tidak boleh kelirulah dari segi dia terhenti menjadi ahli atau dipecat. Terhenti ini dia bukan melalui proses pemecatan tetapi apabila dia tidak menepati tatacara sebagai ahli parti dia secara automatik tidak lagi menjadi ahli parti maka boleh dikatakan kerusinya telah dikosongkan.

“Kalau terhenti keahlian maknanya dia tidak menepati peruntukan dalam perlembagaan parti itu,” jelasnya lagi.

Ujarnya, kedudukan kerusi berkenaan hanya boleh dikekalkan sekiranya seseorang itu dipecat oleh parti kerana ia perlu berdasarkan keputusan berhubung pemecatan berkenaan.

Terdahulu, Kelantan mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan berkuat kuasa hari ini.

Perkara berkenaan diumumkan Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN BERSATU sudah digugurkan keahliannya serta-merta.

Mereka ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) yang juga ADUN Nenggiri, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Seorang lagi ialah ADUN Selat Klang Datuk Abdul Rashid Asari.

Sumber | Buletin TV3 

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo