NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerajaan Persekutuan berhutang bayaran lebih RM1 bilion kepada Terengganu

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

MARANG: Kerajaan Terengganu akan terus berusaha menuntut baki pembayaran royalti petroleum atau wang ihsan yang dianggarkan mencecah lebih RM1 bilion yang sepatutnya diserahkan kepada negeri ini.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jumlah itu termasuk baki kira-kira RM700 juta yang belum dilunaskan Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2023 dan bayaran untuk tahun ini.

“Masih lagi banyak bakinya (royalti) (kalau tak silap) saya rasa campur dengan tahun ini, lebih RM1 bilion.

“(Buat masa ini) kerajaan (negeri) diminta untuk mengemukakan tuntutan berdasarkan kepada program dan juga keperluan kewangan dari masa ke semasa, ‘claim’ (tuntutan) baharu akan dipertimbangkan.

“Daripada segi pertemuan pula, walaupun tidak ada perbincangan yang khusus mengenai royalti tapi saya telah menyuarakan kepada Menteri Kewangan II (Datuk Seri Amir Hamzah Azizan) mengenai keperluan semasa yang berlaku setiap bulan.

“Apa yang berlaku, saya dimaklumkan pertimbangan itu akan dibuat oleh Kementerian Kewangan setiap bulan,” katanya kepada media selepas melancarkan Temasya Sukan DAR Terengganu di Kelulut di sini hari ini.

Beliau juga mengakui tidak mempunyai jawapan mengapa baki pembayaran berkenaan tidak dilunaskan oleh Kerajaan Persekutuan seperti yang dijadualkan.

“Saya pun tak faham, tidak ada alasan (dan) bagi kerajaan negeri, kita tidak ada (dan) tak faham sebenarnya apa alasannya. Itulah keadaan sekarang ini dan kita akan berusaha (untuk dapatkan wang royalti itu),” katanya.

Untuk rekod, setakat Oktober tahun lalu, Kerajaan Persekutuan dilaporkan sepatutnya memulangkan wang royalti kira-kira RM1.5 bilion yang menjadi hak rakyat Terengganu.

Bagaimanapun, kerajaan negeri dilaporkan hanya menerima RM510 juta dan ia adalah bayaran paling rendah berbanding tahun sebelumnya, iaitu sejak 2018 hingga 2022.

Sebelum ini, Kerajaan Persekutuan dilapor sudah menyalurkan wang ihsan sebanyak RM172.3 juta kepada Terengganu dan RM58.6 juta kepada Kelantan pada April lalu.

Ia bertujuan membiayai komitmen emolumen kerajaan negeri, selain bayaran RM103.1 juta untuk obligasi Kerajaan Terengganu kepada kontraktornya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilaporkan berkata, Kerajaan MADANI komited memastikan wang ihsan dikhususkan untuk manfaat Terengganu dan Kelantan.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo