NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kembalikan PT3 kesan pelajar tak minat ambil SPM, kata pakar

Seramai 10,160 daripada 383,685 calon Sijil Pelajaran Malaysia 2023 tidak hadir menduduki peperiksaan itu tahun lalu. (Gambar Bernama)


PETALING JAYA: Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) perlu dikembalikan bagi membolehkan sekolah melakukan pengesanan awal pelajar yang tidak minat meneruskan pengajian, kata pakar.

Pensyarah yang juga pakar sosiologi pendidikan dari Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad, berkata langkah itu dipercayai mampu mengurangkan jumlah pelajar tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Kita kena lihat kemungkinan sediakan peperiksaan ujian pengesanan seperti PT3 supaya dapat kesan lebih awal sebelum SPM,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, melalui ujian di Tingkatan 3, kumpulan pelajar terbabit boleh dikesan lebih awal dan mereka dapat dibantu untuk kembali bermotivasi dalam pembelajaran sebelum menduduki SPM di Tingkatan 5.

“Kalau ada jumlah pelajar berprestasi rendah, lebih mudah kita sediakan program dan agenda untuk membantu mereka tapi disebabkan tiada PT3 maka tiada sistem pengesanan berpusat.

“Kita hanya harapkan sekolah gunakan pentaksiran bilik darjah (PBD), sedangkan adakala kita perlukan satu sistem pengesanan kebangsaan, pelajar lemah ini kita boleh bantu sebelum masuk Tingkatan 4…jadi pencegahan awal lebih baik,” katanya.

Pada 27 Mei lalu, Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan berkata seramai 10,160 daripada 383,685 calon SPM 2023 tidak hadir menduduki peperiksaan itu.

Katanya, jumlah ketidakhadiran itu perlu ditangani dan diteliti supaya langkah intervensi dapat dilaksanakan.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pada 2023 mendedahkan seramai 14,858 atau 3.8% tidak menduduki SPM 2022 daripada keseluruhan 388,832 calon tahun itu.

Sementara itu, mengulas pengajian dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) yang dikatakan pilihan seterusnya bagi kumpulan tidak menduduki SPM, Anuar berpendapat ia turut bergantung kepada minat masing-masing.

“TVET boleh jadi jalan keluar, mereka boleh masuk aliran TVET kalau berminat…tapi kalau tak berminat macam mana, itu kena lihat juga,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi menyeru 10,160 calon tidak hadir menduduki SPM 2023 melanjutkan pengajian dalam TVET.

Zahid yang juga pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara, turut menasihati golongan itu serta ibu bapa mereka supaya tidak berputus asa dalam aspek akademik kerana bidang TVET ialah ‘jawapan’ bagi membina kerjaya pada masa depan.



Sumber | FMT Malaysia 








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo