NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kejatuhan ranking daya saing 'wake-up call' untuk Putrajaya, kata pakar

Sejak tahun lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim giat mempromosikan apa yang dipanggilnya 'Ekonomi Madani'.


Pakar-pakar menganggap kejatuhan Malaysia dalam sebuah ranking kaji selidik daya saing antarabangsa baru-baru ini sebagai isyarat untuk kerajaan menangani secara serius masalah yang disebut dalam laporan itu.

Ranking Daya Saing Global (WCR) 2024 yang dikeluarkan Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan menempatkan Malaysia 
di kedudukan ke-34 daripada 67 dalam senarai ranking itu. 

Selain menyaksikan kejatuhan tujuh anak tangga dalam laporan sama sebelum ini, Malaysia juga buat pertama kali diletakkan di belakang Indonesia dan Thailand.

Bercakap kepada MalaysiaNow, ahli ekonomi Doris Liew berkata kenyataan dan retorik mengenai prospek ekonomi negara tidak lagi memadai.

"Realitinya ekonomi kita sedang mengalami cabaran-cabaran signifikan, dan ini perlu ditangani segera. Kerajaan perlu mengambil langkah yang jitu untuk menangani kelemahan-kelemahan yang ada, termasuklah gaji yang tidak naik, amalan pengurusan yang lapuk, kurangnya daya gerak dalam bertindak terhadap perubahan pasaran," Liew, pembantu pengurus penyelidikan di IDEAS Malaysia, memberitahu MalaysiaNow.

Sebelum ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz berkata kejatuhan Malaysia dalam ranking tersebut disebabkan nilai mata wang ringgit di samping penggunaan data pada 2023 untuk mengukur daya saing negara.

Zafrul berkata penurunan eksport produk elektronik turut mempengaruhi prestasi Malaysia.

"Ini adalah seiring dengan kelembapan perdagangan di seluruh dunia, tetapi tahun ini kita dapat melihat sektor itu bertambah baik," kata Zafrul.

"Jika 100 pemimpin perniagaan dan politik ditanya untuk menjelaskan apa itu Madani selepas pengumumannya, mungkin tiada yang boleh menjelaskannya."

Penurunan ranking Malaysia tahun ini dicatatkan dalam semua sektor termasuk prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan dan kecekapan perniagaan. 

Malaysia bagaimanapun mengekalkan kedudukan dalam sektor infrastruktur.

Laporan IMD itu menyenaraikan lima cabaran untuk Malaysia.

Ia termasuk menambah pelaburan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan untuk memperkasakan kemampanan perniagaan, mengoptimumkan pasaran tenaga kerja untuk memaksimumkan produktiviti, mengemaskini polisi dan penyeliaan ntuk menambahbaik daya saing global, memanfaatkan teknologi canggih untuk mempercepatkan pertumbuhan produktiviti dan mitigasi kenaikan kos menerusi penambahbaikan produktiviti.

Pada 2020, Malaysia berada di tangga ke-27 sebelum naik ke tangga ke-25 pada 2021. Pada tahun berikutnya, kedudukan negara turun ke tangga 32 sebelum naik semula ke tangga 27 pada 2023.

Dalam edisi 2024, faktor ekonomi domestik menyaksikan penurunan paling ketara iaitu jatuh 19 anak tangga ke tempat ke-35. 

Perdagangan antarabangsa turun tiga anak tangga, menduduki tempat ke-17 manakala faktor harga turun satu anak tangga ke tempat ke-2.

Dua faktor yang menyaksikan kenaikan ialah pelaburan antarabangsa dan kadar pekerjaan, masing-masing naik satu dan tiga anak tangga.

Doris bersetuju ekonomi domestik dan perdagangan antarabangsa terkesan dengan kejatuhan nilai ringgit dan imbangan perdagangan yang tidak memihak kepada negara.

Selain itu, peningkatan defisit dan polisi perlindungan turut menyumbang kepada kejatuhan ranking tersebut.

Penganalisis Lee Heng Guie berkata, kerajaan perlu melihat semula bidang-bidang yang menyaksikan penurunan ranking.

"Dalam soal kecekapan kerajaan, faktor itu tidak hanya berkaitan dengan perniagaan tetapi kewangan awam. Kerajaan perlu mengawal defisit dan hutang. Ini telah dibuat dengan rasionalisasi subsidi diesel dan sebelum itu, elektrik," kata Lee, pengarah eksekutif  Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi. 

"Perlu ada perlindungan sosial untuk golongan berpendapatan rendah. Menambah baik kewangan perlu dibuat tanpa menjejaskan perniagaan yang perlu menyesuaikan kos mereka," katanya.

Lee terkejut dengan kejatuhan itu, dan berkata sekurang-kurangnya Putrajaya patut mengekalkan ranking tahun lalu jika ingin mencapai kedudukan ke-12 seperti yang disasarkan.

"Dalam kebanyakan faktor, kedudukan Malaysia jatuh. Jadi kerajaan perlu mengusahakan faktor yang difikirkan boleh ditambah baik bagi memastikan ranking boleh dilonjak secara konsisten," katanya.

Seorang pengurus syarikat teknologi berkata ranking adalah produk tinjauan berasaskan tanggapan (impression), dan disebabkan itu jangkaan di peringkat tempatan dan global adalah tinggi selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilantik pada penghujung 2022.

Shahryn Azmi, pengsasas bersama MakeTimePay, berkata selepas lebih dua dekad memimpin pembangkang, Anwar sepatutnya mengumukan segera solusi unik untuk memperbetulkan banyak cabaran pasca skandal 1MDB.

"Tetapi tiada. Ia mengambil masa setahun untuk pelan ekonomi yang sedikit kabut diumum dan bahkan ketika itu, ia tidak dibina di atas asas-asas kritikal.

"Jika 100 pemimpin perniagaan dan politik ditanya untuk menjelaskan apa itu Madani selepas pengumumannya, mungkin tiada yang boleh menjelaskannya. Oleh itu, ada masalah komunikasi yang besar," katanya kepada MalaysiaNow.

Shahryn berkata kadar penembusan teknologi masih lagi terhad di Malaysia, sambil menambah penggunaan media sosial atau pemilikan telefon pintar tidak menggambarkan masyarakat berteknologi canggih.

"Kita masih menggunakan solusi manual spontan. Kita belum menggunakan solusi teknologi spontan. Ini sebabnya kita masih bergantung kepada buruh asing.

"Sekolah masih belum komited terhadap kepentingan teknologi sebagai pendidikan aasas untuk orang ramai. Itu sebabnya mengapa kita kini sedang tergesa-gesa memaksa teknologi kepada pelajar universiti."

Dalam pada itu, Doris berkata, sementara langkah konsolidasi fiskal, strategi industri dan kerjasama perdagangan boleh menambah baik daya saing Malaysia pada tahun-tahun mendatang, kerajaan tidak boleh mengendahkan kelemahan yang disenaraikan.

"Kerajaan mesti mengambil pendekatan proaktif dan ampuh untuk menangani cabaran-cabaran ini daripada sekadar bergantung dengan unjuran dan kata-kata kosong yang optimistik.



Sumber | MalaysiaNow 










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo