NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kampung Sri Makmur: Tidur bawah jejambat selepas rumah diroboh

Nur Zaitul Faridah bersama suami serta tiga anaknya tidur dalam khemah selepas rumah mereka dirobohkan.



GOMBAK - Pasangan suami isteri hilang tempat tinggal selepas rumah peninggalan bapa mereka turut terlibat dalam operasi perobohan setinggan di Kampung Sri Makmur pada Isnin lalu.

Mohd Hamdan Ghazali, 40, yang menyara keluarga dengan berniaga burger berkata, dia menjadi gelandangan sejak kejadian apabila terpaksa tidur dalam khemah di bawah jejambat berhampiran lokasi perobohan itu.

Menurutnya, isteri dan dua anak berusia 10 bulan dan dua tahun pula ditumpangkan di rumah kakak ipar di Selayang Baru.

"Kakak ipar pun anak ramai jadi saya hanya hantar isteri yang sedang mengandung lima bulan serta anak-anak di sana, sementara saya tinggal di bawah jejambat.

"Saya sudah ikhtiar cari rumah sewa, namun tidak mampu menyediakan wang deposit kerana pendapatan saya buat masa ini sekadar cukup untuk menampung susu dan lampin pakai buang anak-anak," katanya ditemui berhampiran tapak perobohan pada Ahad.

Operasi perobohan struktur rumah penduduk dilakukan pada Isnin lalu selepas penduduk terlibat menerima notis supaya mengosongkan rumah selewat-lewatnya pada 21 Januari lalu.

Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sebelum ini memaklumkan penjualan tanah di kampung itu kepada sebuah syarikat dimeterai pada 8 September 2020 dan syarikat tersebut memperoleh perintah mahkamah untuk melaksanakan tindakan meroboh semua struktur di tanah itu pada 14 Mei lepas.

Kerajaan Selangor juga telah menawarkan pembelian seunit Rumah Selangorku dengan harga subsidi RM65,000 dan sagu hati 'ex-gratia' sebanyak RM1,000 kepada 21 setinggan asal, berdasarkan pengesahan bancian pada 2006 dan 2016 mengikut senarai Pejabat Daerah Daerah dan Tanah Gombak.

Katanya, penguatkuasaan dilakukan itu merupakan ujian berat buatnya sekeluarga yang ditimpa isu kewangan kebelakangan ini.

"Saya baru saja enam bulan mula berniaga sendiri selepas kontrak sebagai juruelektrik tidak disambung oleh majikan.

"Isteri sebelum ini kerja tapi saya minta dia berhenti untuk jaga anak. Lepas tidak kerja, rumah pula kena roboh," luahnya.

Justeru dia berharap kerajaan negeri dapat mempertimbangkan rayuan dan membantu isu penempatan bagi baki penduduk yang tercicir menerima bantuan.

"Saya dipinggirkan daripada menerima rumah ganti kerana rumah diduduki sejak 2000 atas nama bapa yang telah pulang ke kampung.

"Saya telah lampirkan dokumen sijil kelahiran dan bil elektrik, namun masih tidak memenuhi syarat diperlukan. Saya harap kerajaan negeri dapat pertimbangkan rayuan ini," katanya.

Penghantar makanan, Mohamad Ali Osman, 41, pula berharap, dapat menyelesaikan isu rumah sebelum ketiga-tiga anaknya memulakan sesi persekolahan Selasa depan.

"Sebagai bapa, saya rasa gagal jika lihat isteri dan anak-anak terus tinggal sebagai gelandangan seperti ini.

"Saya sedang mencari rumah sewa sekitar Sri Gombak memandangkan anak-anak bersekolah di sini, namun kadar sewa mahal, bagi bajet RM700 sedikit jauh dari sini.

"Untuk sedia deposit memang tiada kemampuan namun saya tak boleh biarkan anak-anak terus begini dan perlu bawa mereka keluar jadi akan ikhtiar meminjam daripada kawan-kawan," luahnya.

Seorang lagi penduduk, Nur Zaitul Faridah Sulaiman, 40, berkata, dia berharap ehsan daripada kerajaan negeri dan pihak berwajib untuk membantu penduduk yang masih tiada tempat tinggal.

"Saya dalam kesusahan, suami ada masalah kesihatan dan perlu jalani dialisis, salah seoang anak sakit leukemia, seorang lagi orang kurang upaya (OKU) masalah pendengaran selain menanggung anak sulung yang menuntut di universiti.

"Walaupun suami sakit namun dia masih bekerja sebagai pengawal keselamatan. Ketika ini memang tiada kemampuan untuk sediakan deposit sewa rumah dengan gaji suami sekitar RM2,700 disebabkan banyak komitmen.

"Hanya harap kerajaan dapat sediakan rumah ganti, soal sewa atau bayaran bulanan kami akan cuba ikhtiar kemudian," katanya yang turut terpaksa bermalam di bawah jejambat susulan tiada tempat tinggal.

Sementara itu, Pengerusi Perantau Sri Makmur, Noora Mustafa menerusi sidang akhbar yang diadakan di lokasi penempatan sementara itu berkata, walaupun perobohan telah dilaksanakan namun pihaknya berharap kerajaan negeri tidak lepas tangan terhadap baki penduduk yang tercicir menerima bantuan.

Katanya, proses dokumentasi sedang diuruskan untuk diserahkan kepada Menteri Besar dan juga untuk perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta berharap rayuan penduduk dapat dipertimbangkan.

"Baki sembilan keluarga hanya mahukan penempatan sementara kemudian rumah ganti yang mampu mereka bayar ansuran setiap bulan, itu sahaja," katanya.

Pada masa sama beliau berharap, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Lembaga Zakat Selangor juga diharap tampil menyalurkan bantuan kecemasan kepada beberapa penduduk yang tiada tempat tinggal sejak operasi perobohan dijalankan.



Sumber | Sinar Harian











........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo