NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Harga sewa melonjak, perniagaan kecil di KL gulung tikar

Papan tanda “untuk dijual” dan “untuk disewa” di depan kedai yang ditutup di Lembah Klang adalah pemandangan biasa dilihat pada masa ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Jun, 2024.

HARGA sewa yang melonjak menyebabkan berpuluh-puluh perniagaan kecil di Kuala Lumpur terpaksa berhenti berniaga kerana tidak mampu lagi menampung kos untuk kekal berdaya maju dalam perniagaan.

Papan tanda “untuk dijual” dan “untuk disewa” di depan kedai yang ditutup, malah di kawasan komersial di Lembah Klang adalah pemandangan biasa dilihat pada masa ini.

Setiausaha Agung Persatuan SME Malaysia Chin Chee Seong memberitahu The Malaysian Insight selepas pandemik Covid-19, sewa untuk 90% kedai di negara ini meningkat 20% hingga 50%.

Ditambah dengan kos operasi yang meningkat, kos untuk berniaga tiba-tiba menjadi tidak menguntungkan lagi, katanya.

“Ia sangat menjejaskan perniagaan.”

Chin berkata situasi itu bertambah buruk dengan ekonomi dunia yang perlahan, gangguan rantaian bekalan, kos bahan mentah dan pengangkutan meningkat dan kuasa beli lemah.

“Gangguan rantaian bekalan dan kos pengangkutan meningkat menyebabkan harga produk bertambah tinggi, yang menjejaskan perbelanjaan pengguna, sekaligus memberi kesan ketara kepada pendapatan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata kuasa beli pengguna pada masa ini rendah kerana kebanyakannya tidak mempunyai wang untuk dibelanjakan.

“Kumpulan B40 bergantung kepada bantuan kerajaan untuk kehidupan harian mereka.

“Bagaimana mereka hendak belanja bila membeli satu hidangan makanan pun sukar?

“Sudah tentu ada juga pengguna yang ada duit, tetapi mereka tidak yakin dengan ekonomi semasa.

“Mereka memilih untuk simpan duit di bank, tidak mahu belanjakan duit itu,” katanya.

Ejen hartanah C K Lau berkata jumlah kedai yang ditutup di Kuala Lumpur meningkat dengan pantas.

Katanya, ini termasuk di kawasan komersial utama seperti Bukit Bintang dan Bangsar.

“Bukit Bintang bukan saja kawasan komersial dan pusat beli-belah di Kuala Lumpur tetapi lokasi hotel dan bangunan pejabat.

“Sejak beberapa tahun ini, akibat tekanan ekonomi dan perubahan tingkah laku pengguna, banyak kedai dan perniagaan di kawasan ini berdepan kesukaran.”

Katanya, Bangsar yang menjadi pusat fesyen dan gaya hidup juga terjejas akibat lanskap ekonomi pasca pandemik.

“Gelombang kedai tutup di kawasan ini mencerminkan cabaran ekonomi yang lebih luas.” – 29 Jun, 2024.

Sumber | The Malaysian Insight

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo