Istanbul: Hamas pada Jumaat mengecam tindakan Israel untuk 'menghalalkan' penempatan dan unit baharu di Tebing Barat yang diduduki.
Kumpulan pejuang Palestin itu mengecam pengumuman terbabit sebagai 'pengisytiharan praktikal oleh kerajaan pendudukan fasis untuk meneruskan rancangan ekstremis (Menteri Kewangan Bezalel) Smotrich bagi mengawal Tebing Barat', lapor Agensi Anadolu.
Hamas berkata rancangan penempatan baharu itu 'memerlukan pendirian bersatu rakyat Palestin untuk menolak dan menghadapi mereka serta menentang dasar kerajaan Zionis pelampau'.
Kumpulan itu menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa 'mengambil langkah praktikal untuk berusaha menghentikan langkah-langkah ini'.
Pada Khamis, Kabinet Israel meluluskan langkah-langkah yang dicadangkan oleh Smotrich untuk 'menghalalkan' pos-pos penempatan di Tebing Barat dan mengenakan sekatan ke atas Pihak Berkuasa Palestin.
No comments
Post a Comment