Koh Fai Chaiou. (FOTO: HARAKAHDAILY/Rizal Tahir)

KOTA BHARU: Kenaikan mendadak harga diesel di Malaysia di bawah kepimpinan Kerajaan Madani telah menyebabkan rakyat terutamanya golongan B40 semakin terhimpit dengan peningkatan kos sara hidup.

Ketua Wanita Gerakan Kelantan, Koh Fai Chaiou berkata, kenaikan harga diesel memberi kesan berantai terhadap barangan keperluan harian. 

Menurutnya, langkah itu memperlihatkan Kerajaan Madani bukan mengutamakan kebajikan rakyat, sebaliknya menambah lagi tekanan hidup penduduk miskin.

“Kenyataan pemimpin kerajaan Madani tiada kenaikan harga barangan tidak berpijak di bumi nyata kerana ia bertentangan dengan apa yang berlaku di bawah,” katanya ketika ditemui Harakahdaily, di sini.

Terdahulu, pada 10 Jun lepas kerajaan mengumumkan kenaikan harga diesel sebanyak RM1.20 seliter daripada harga asal RM2.15 seliter.

Hukum kerajaan pada PRK Sungai Bakap, Nenggiri

Sehubungan itu, Fai Chaiou menyatakan bahawa pengundi yang akan mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap dan DUN Nenggiri boleh menghukum kerajaan Madani di kertas undi. 

“Gunalah kesempatan PRK bagi menggambarkan referendum rakyat menolak kerajaan Madani yang ‘cakap tidak serupa bikin’,” katanya. 

PRK Sungai Bakap akan diadakan pada 6 Julai ini berikutan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu.

PERIKATAN NASIONAL menampilkan Abidin Ismail bagi mempertahankan DUN terbabit dan beliau dicabar calon PKR yang mewakili PH, Dr Joohari Ariffin.

Sementara, PRK DUN Nenggiri pula akan diadakan tidak lama lagi berikutan kekosongan luar jangka diumumkan Speaker DUN Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah pada Rabu lepas. 

Sumber | HARAKAHDAILY