NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Fenomena MTHQK 2024 Cetus Semangat Masyarakat Menghayati Al-Quran


Qari Negeri Sembilan, Muhammad Husaini Mahmur mempersembahkan alunan ayat suci Al-Quran setelah dinobatkan Johan Qari MTHQK kali ke-66 pada tahun 2024. - Sumber gambar: Instagram/ @myjakim

Usai berlabuh tirai Majlis Tilawah Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ke-66 yang berlangsung di Kuantan, Pahang selama 6 hari bermula dari 23 hingga 28 Mei 2024 berakhir dengan kemenangan keseluruhan berpihak kepada Negeri Sembilan. Sebanyak 110 penyertaan peserta pada majlis tahun ini melibatkan wakil 14 negeri. Pemenang tempat pertama acara tilawah Al-Quran bagi kategori qari jatuh kepada Muhammad Husaini Mahmur wakil Negeri Sembilan manakala bagi kategori qariah pula disandang oleh Nor Hidayah Abd Rahman (Johan Menunggu) mewakili negeri Terengganu.

Majlis yang penuh gemilang itu juga dihadiri ramai penonton dari keseluruhan negeri bagi merasai suasana dikelilingi oleh Ahlul Qurra' yang mempersembahkan bacaan Al-Quran dengan seni tilawah dan tidak dilupakan juga mengambil aura semangat huffaz Quran dalam acara hafazan yang dijalankan pada waktu pagi. Acara yang dikira menjadi adat setiap tahun ini sentiasa ditunggu oleh kebanyakan orang tidak kira untuk menonton secara langsung atau tidak langsung begitu juga sama ada generasi muda mahupun tua turut berminat dengan pertandingan yang dijalankan sepanjang MTHQK iaitu kategori hafazan yang mempunyai 3 peringkat bermula dengan hafazan 1 hingga 10 juzuk, hafazan 1 hingga 20 juzuk dan hafazan 1 hingga 30 juzuk. Bagi pertandingan tilawah Al-Quran pula terbahagi kepada dua iaitu kategori qari dan qariah.

Sering juga kelihatan melalui lensa kamera yang dipaparkan menerusi layar kaca televisyen pada bahagian penonton memperlihatkan di tangan mereka sentiasa memegang Al-Quran, mengikuti dan menyemak bacaan bersama sementara mendengar persembahan peserta. Hal ini dapat dapat diakui bahawa penghayatan kitab suci Al-Quran dapat dihayati bersama seiring dengan bacaan yang menusuk jiwa.  Oleh itu amatlah beruntung kepada mereka kerana Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mendengar sepotong ayat kitab Allah  akan dituliskan untuknya ganjaran yang berlipat ganda. Sesiapa yang membacanya dia akan memperoleh cahaya di hari kiamat”. (Hadis Riwayat Abu Hurairah R.A). Sesungguhnya setiap orang yang mencintai  Al-Quran dan mengamalkannya kelak mendapat ganjaran syafaat Al-Quran.

Acara MTHQK juga mendapat liputan meluas dari pelbagai media seperti televisyen, radio mahupun platform digital. Ini membuktikan bahawa teknologi dijadikan medium untuk memperluas penghayatan dan kecintaan terhadap Al-Quran, memudahkan penyebaran kebaikan dan ilmu pengetahuan hingga ke pelosok-pelosok negeri. Selain itu, fenomena ini mendorong masyarakat untuk terus memperbaiki bacaan dan mentadabbur Al-Quran supaya dapat memahami kisah 114 surah yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad S.A.W.

Menelusuri peredaran zaman dalam kemenjadian manusia, Al-Quran adalah sumber utama dijadikan panduan dalam bimbingan menuju kearah kebenaran. Berdasarkan hadis Nabi Muhammad S.A.W yang diriwayatkan oleh Imam Malik yang bermaksud: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara dan kamu tidak akan sesat selagimana kamu berpegang dengannya iaitu kitab Allah (Al-Quran) dan sunnah Nabi-Nya (Sunnah Nabi S.A.W)”. Melalui hadis ini antara perkara yang ditekankan ialah kepentingan bagi umat Islam supaya berpegang teguh dua peninggalan daripada Rasulullah S.A.W iaitu Al-Quran dan sunnah. Melalui pengamalan dua perkara tersebut, umat Islam jelas dapat menghadapi segala rintangan dengan baik serta perjalanan hidup mereka sentiasa berada di jalan yang lurus dan diredhai Allah. Oleh itu, usaha dalam penghayatan Al-Quran perlu dikekalkan agar manusia tidak terpesong dari ajaran agama.

Tuntasnya, MTHQK 2024 telah membuktikan bahawa penghayatan Al-Quran mampu menyatukan umat Islam dalam semangat cinta dan syukur terhadap kitab suci ini. Dengan persembahan dan prestasi cemerlang kesemua peserta dari pelbagai negeri, acara ini dapat menegaskan bahawa Al-Quran adalah sumber inspirasi dan petunjuk yang tiada tandingannya. Semoga MTHQK terus menjadi medium yang menggerakkan hati dan jiwa umat Islam untuk lebih mencintai, memahami, dan mengamalkan ajaran Al-Quran dalam kehidupan seharian.

Iman Wafiah Thoiyibah Mohd Ali
Pelajar Sarjana Muda Komunikasi (Kewartawanan)
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Universiti Sains Islam Malaysia



........
Komen:


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo