NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

DUN Kelantan pernah ada ‘wakil mahkamah’

DUN Kelantan pernah ada ‘wakil mahkamah’

TIDAK mampu dinafikan lagi Kelantan menerajui perubahan politik di negara ini. Buktinya pada 25 April 1991 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan pindaan Perlembagaan Negeri.

Pindaan itu berkaitan mana-mana Adun keluar parti atau dipecat terlucut daripada jawatannya. Pindaan terbabit berkuatkuasa 18 November 1990.

Pindaan tersebut dibuat ekoran Adun Sungai Pinang Nordin Salleh bertindak keluar daripada Semangat 46 pada 27 Mac 1991. Langkah serupa diikuti Adun Limbongan Wan Najib Wan Mohamed pada 10 April 1991.

Kemudian sidang DUN pada 3 Julai 1991 melucutkan keahlian Nordin dan Wan Najib. Susulan itu Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan di kedua-dua DUN terbabit.

Pada PRK 24 Ogos 1991 Nordin dan Wan Najib bertanding atas tiket BN. Namun Nordin kalah dengan majoriti 1,994 undi kepada Mahmud Yaakub.

Manakala Wan Najib pula kalah dengan majoriti 1,560 undi di tangan Samat Mamat. Kes tersebut tidak berakhir di situ. 

Nordin dan Wan Najib membawa kes tersebut ke mahkamah. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 8 November 1991 menyifatkan pindaan perlembagaan dan perlucutan jawatan mereka tidak sah.

Mahkamah Rayuan juga membuat keputusan serupa pada 22 Januari 1992. Dan akhirnya pada 3 April 1992 Mahkamah Agung mengekalkan keputusan kedua-dua mahkamah. 

Mahkamah menyifatkan Enakmen Antilompat Parti 1991 yang digubal di DUN Kelantan tidak terpakai kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Kes tersebut berlaku 32 tahun lepas.

Biarpun pindaan itu ditolak mahkamah, namun apa pun Kelantan mendahului negeri lain mengubal Enakmen Antilompat Parti.

Berikutan itu rakyat Kelantan menggelarkan kedua-dua wakil rakyat terbabit sebagai ‘wakil mahkamah’. 

Sekarang berbeza

Namun, situasi yang berlaku sekarang agak berbeza. Pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan mengenai isu serupa sekadar mengguna pakai akta dilulus di parlimen.

Parlimen meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (pindaan) 2022 mengenai peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat melompat parti.

Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti. Akta terbabit berkuat kuasa Oktober 2023.

RUU Akta Anti Lompat Parti digubal pada 11 April 2022. Ia dibawa Kerajaan Keluarga Malaysia. Tujuannya untuk menangani Ahli Parlimen bertukar parti.

Dewan Rakyat meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan dengan undian dua pertiga pada 28 Julai 2022. Perkara 49A(1) menjelaskan sebab-sebab keanggotaan Dewan Rakyat boleh gugur.

Antaranya melepaskan keanggotaan parti politik. Kedua, tidak lagi menjadi anggota parti (asal). Dan ketiga pemecatannya daripada keanggotaan dalam parti politiknya. 

Apabila seseorang ahli parlimen melanggar disiplin parti dan disebabkan itu keahlian tergugur, maka dia dianggap juga dianggap melompat parti.

Jelas apa yang berlaku di Kelantan dianggap ‘precedent case’ terhadap kedudukan enam ahli parlimen dan seorang bekas Adun Bersatu di Selangor.

Bagi mantan Ketua Pengarang sebuah akhbar Yusri Yusof, adakah Speaker Dewan Rakyat dan Speaker DUN Selangor akan mengambil sikap serupa seperti Kelantan.

“Sedangkan berdasar perbahasan dan hujahan ahli-ahli Parlimen PH dan BN berpandu handsard Dewan Rakyat ketika perbahasan Akta Lompat Parti seharusnya mereka bertindak seperti Kelantan,” katanya.

DUN Nenggiri

Ketika mengumumkan pengosongan DUN Nenggiri semalam Speaker DUN Kelantan Mohd Amar Abdullah berkata, keputusan itu dibuat selepas menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh Negeri.

Notis tersebut diterima daripada bekas Adun Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim pada 13 Jun dan Bersatu pada 12 Jun lalu.

“Notis tersebut memaklumkan Adun terbabit hilang keahlian Bersatu sehingga menyebabkan berlaku kekosongan luar jangka kerusi berkenaan.

"Maka dengan ini saya mengisytihar menurut Fasal 1 Perkara 31A bahawa berlaku kekosongan luar jangka kerusi DUN Nenggiri," katanya pada sidang media di Kota Darulnaim.

Sebelum ini media melaporkan enam Ahli Parlimen dan seorang Adun Bersatu digugurkan keahlian kerana menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri. 

Wakil rakyat terbabit iaitu Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Zahari Kechik (Jeli); Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar); Suhaili Abdul Rahman (Labuan); Mohd Azizi (Gua Musang & Dun Nenggiri) dan Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Adun Selat Klang Abdul Rashid Asari turut memberi sokongan terhadap kerajaan PH Selangor.

Berdasar kronologi tersebut apakah Mohd Azizi ada peluang kedua seperti dialami Nordin dan Wan Najib pada 1992. Ramai melihat agak sukar kerana pindaan Perlembagaan Tubuh Negeri di Kelantan mengikut jejak pindaan di Parlimen.

Malah kes serupa berlaku di Pulau Pinang pada 6 Mac 2023. Empat Adun pembangkang diarah meninggalkan sidang DUN selepas usul pengosongan kerusi mereka diluluskan. 

Adun terbabit dari Bersatu. Mereka iaitu Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya); Zulkfili Ibrahim (Sungai Acheh); Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Teluk Bahang).

Media melaporkan mereka diarah keluar dewan oleh Yang Dipertua DUN Pulau Pinang, Law Choo Kiang.

Sebelum itu wakil rakyat PH Jagdeep Singh Deo menyifatkan usul bersejarah tersebut dapat dimuktamadkan kerana sudah disahkan Mahkamah Persekutuan. 

Bagaimanapun PRK tidak berlaku kerana tempoh penggal kerajaan Pulau Pinang hampir berakhir. 

Di Kelantan tempoh penggal ke-15 belum sampai setahun. Maka hampir pasti gelombang PRK semakin mendekati Nenggiri.

Sumber : FB

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo