NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Azizi fail saman cabar gugur keahlian, mengosongkan DUN Nenggiri

Bekas Adun Nenggiri, Azizi Abu Naim, juga adalah Ahli Parlimen Gua Musang. (Gambar Facebook)


KUALA LUMPUR: Bekas Adun Nenggiri, Azizi Abu Naim, memfailkan saman ke Mahkamah Tinggi bagi mencabar keguguran keahlian Bersatu dan tindakan mengosongkan kerusi Nenggiri.

Keahlian Azizi dalam Bersatu dikatakan terhenti kerana gagal mengisytiharkan kesetiaan kepada parti, susulan tindakan beliau menyatakan sokongan kepada pentadbiran Anwar Ibrahim.

Azizi menamakan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin sebagai defendan, selain Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan Amar Abdullah dan Suruhanjaya Pilihan Raya.

Dalam samannya, Azizi berhujah pindaan pada perlembagaan Bersatu yang menyebabkan keahlian seseorang terhenti sekiranya menyokong parti lawan adalah tidak mengikut Perlembagaaan.

Beliau mahu mahkamah membatalkan pindaan itu atas alasan ia menyalahi Perlembagaan.

Azizi juga mahu mahkamah mengisytiharkan notis kekosongan bagi kerusi Nenggiri, yang DUN Kelantan berikan kepada SPR, tidak sah dan terbatal kerana beliau tidak diberi hak untuk membela diri sebelum speaker mengosongkan kerusi tersebut.

‘Peminggiran’

Sementara itu, Azizi dalam afidavit yang difailkan bersama samannya mendakwa dia dipinggirkan kerajaan Kelantan pimpinan PAS.

Mengambil contoh suatu bantuan kepada penduduk, Azizi berkata bantuan itu tidak dihantar ke pusat khidmat DUN Nenggiri, sebaliknya dihantar terus ke Pejabat PAS DUN Nenggiri.

“Saya sesungguhnya percaya bahawa ini adalah suatu tindakan yang amat memprejudiskan kerana DUN Nenggiri adalah dipegang oleh saya dan bukannya ahli PAS yang lain,” katanya.

Menurut Azizi, beliau ada menyuarakan ketidakpuasan kepada Hamzah pada tahun lalu, namun dimaklumkan bahawa beliau perlu terima keputusan kerajaan Kelantan.

Ini kerana, beliau mendakwa, terdapat kononnya ‘suatu persetujuan’ antara Muhyiddin Yassin dan PAS, di mana PAS akan melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri apabila Perikatan Nasional membentuk kerajaan persekutuan.

Dalam pada itu, Azizi mendakwa Bersatu tidak membantu apabila beliau menghadapi petisyen mencabar kemenangannya sebagai Ahli Parlimen Gua Musang.

“Saya terpaksa mengeluarkan belanja yang besar untuk melantik peguam,” katanya.

“Saya sesungguhnya percaya bahawa pada masa yang sama, terdapat petisyen pilihan raya yang difailkan terhadap beberapa ahli Bersatu yang lain. Namun begitu, segala fi guaman bagi pengendalian petisyen-petisyen yang melibatkan ahli Bersatu yang lain adalah ditanggung oleh parti Bersatu.”

Azizi menyatakan terdapat perbezaan layanan oleh Bersatu terhadapnya.

“Saya sesungguhnya percaya bahawa ini adalah suatu lagi bentuk percubaan untuk memecat saya secara konstruktif,” katanya.

Mahkamah menetapkan 9 Julai untuk pengurusan kes.


Sumber | FMT Malaysia 









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo