Ismail (tengah) pada sidang media keputusan SPM 2023 bagi Kedah, hari ini. - NSTP/WAN NABIL NASIR
Ismail (tengah) pada sidang media keputusan SPM 2023 bagi Kedah, hari ini. - NSTP/WAN NABIL NASIR

Sungai Petani: Kedah mencatat peningkatan prestasi Gred Purata Negeri sebanyak 0.21 mata dengan merekodkan 4.77 mata dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 berbanding 4.98 pada 2022, sekali gus melakar pencapaian terbaiknya dalam tempoh 13 tahun sejak 2010.

Pengarah Pendidikan Kedah, Ismail Othman, berkata seramai 568 atau 2.32 peratus daripada 24,528 calon hadir menjalani peperiksaan SPM 2023, berjaya meraih Gred A (A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran diduduki, selain 14 lagi memperoleh keputusan cemerlang A+ dan A sepenuhnya.

Beliau berkata, ia meningkat seramai 127 atau sebanyak 0.51 peratus berbanding 441 atau 1.81 peratus calon merekodkan keputusan Gred A (A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran diduduki pada 2022.

"Pencapaian SPM 2023 adalah yang terbaik bagi Kedah dalam tempoh 13 tahun sejak 2010. Ia merupakan pencapaian amat membanggakan dan mengangkat martabat pendidikan di negeri ini," katanya pada sidang media selepas Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan SPM 2023 Kedah, di sini, hari ini.

Seramai 29,044 mendaftar sebagai calon SPM 2023 di Kedah dengan 24,528 hadir dan menduduki sekurang-kurang satu mata pelajaran, manakala 766 calon tidak hadir semua subjek.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, 14 sekolah memperoleh peningkatan Gred Purata 0.80 dan ke atas (Lonjakan Saujana).

Selain itu, katanya, 21 sekolah mencapai Gred Purata Sekolah bawah 3.0, iaitu penambahan dua sekolah berbanding tahun lalu.

Beliau berkata, sebanyak 71 daripada 196 sekolah Kategori A pula melepasi pencapaian Gred Purata Negeri 4.77.

Seterusnya, Ismail berkata, Matematik menunjukkan peningkatan prestasi yang tertinggi dengan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) 5.59, iaitu sebanyak 0.27 mata berbanding 5.86 sebelum ini.

"Bagi mata pelajaran elektif Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kategori Sains Tulen dan Matematik Tambahan, empat subjek menunjukkan peningkatan prestasi.

"Mata pelajaran Biologi mencatat peningkatan prestasi tertinggi sebanyak 0.30 mata dengan GPMP 4.64 mata dalam SPM 2023 berbanding 4.94 pada 2022. Tiada mata pelajaran terbabit merekodkan penurunan prestasi," katanya.

Sumber | BHarian