NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Gabungan BN-PH: GRS perkukuh kerjasama parti tempatan hadapi PRN

Joniston Bangkuai mengingatkan GRS akan sentiasa berpandu kepada sentimen dan kehendak rakyat Sabah dalam perjuangan termasuk menentukan rakan kerjasama.


PETALING JAYA: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan memperkuatkan kerjasama antara parti tempatan untuk berdepan kemungkinan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada PRN Sabah dijangka tahun depan.

Ketua Penerangannya Joniston Bangkuai berkata gabungan diketuai Ketua Menteri Hajiji Noor itu tidak terkesan dengan spekulasi kewujudan pakatan dua komponen terbabit di sebalik PH menjadi sebahagian komponen membentuk kerajaan Sabah.


Beliau yang juga Adun Kiulu berkata, GRS akan terus mengukuhkan kedudukan dan langkah itu termasuk mengambil kira sentimen rakyat Sabah.

“Mereka mahu melihat Sabah diterajui parti tempatan tapi akan bekerjasama dengan parti-parti lain yang sehaluan dengannya.


“GRS akan sentiasa berpandu kepada sentimen dan kehendak rakyat Sabah,” katanya kepada FMT.

Joniston daripada Parti Bersatu Sabah mengulas laporan FMT hari ini berhubung kemungkinan kerjasama BN dan PH bagi berdepan PRN Sabah, meneruskan kesinambungan di peringkat persekutuan terjalin sejak 2022.

Memetik sumber, kerjasama itu tidak akan membabitkan GRS dan mungkin turut disertai Warisan dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM). Kesemuanya turut menjadi sebahagian komponen dalam kerajaan perpaduan diketuai Anwar Ibrahim.

Sumber mendedahkan, walaupun majoriti pimpinan BN dan PH negeri bersetuju dan hanya menunggu pengesahan ketua parti masing-masing, namun ada yang membantah cadangan kerjasama terbabit kebanyakannya daripada PKR.


Pengerusi PH Sabah Christina Liew antara wakil rakyat PKR membantah cadangan itu kerana mahu kerjasama dengan GRS diteruskan pada PRN.


Di sebalik spekulasi itu, Joniston turut mengingatkan Umno, PH sebelum ini lebih memilih bekerjasama dengan GRS selepas beberapa pemimpin Umno cuba menggulingkan kerajaan Sabah pimpinan Hajiji pada Januari tahun lalu.

“Perlu juga diingat apabila segelintir pemimpin Umno Sabah bersekongkol dengan Warisan untuk menggulingkan kerajaan Sabah, PH Sabah memilih untuk meninggalkan kerjasama dengan Warisan dan menyokong Hajiji,” katanya tanpa menjelaskan lebih lanjut ‘peringatannya’ itu.

Semalam, Pengerusi BN Zahid Hamidi membayangkan kerjasama BN-PH di peringkat pusat yang telah bersama melalui PRN di enam negeri dan beberapa PRK, terbaru di Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei lalu mungkin diterjemahkan di Sabah.


Kenyataan presiden Umno menyusul kenyataan Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin minggu lalu yang memberi isyarat parti itu akan membentuk satu gabungan atau gagasan baharu pada PRN akan datang.



Sumber | FMT Malaysia 







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo