Hari ini 204 tahun yang lalu, ibu kejururawatan moden, Florence Nightingale dilahirkan.
Beliau lahir di Florence, Itali dalam keluarga bangsawan British. Sejak remaja, Nightingale memang berimpian untuk menjadi jururawat. Namun, kedua ibu bapanya tidak bersetuju kerana ia dianggap kerja kotor yang dilakukan orang kelas bawahan.
Begitupun, Nightingale nekad lalu mendaftar di sebuah sekolah kejururawatan di Jerman pada 1844. Beliau pulang ke England pada awal 1850-an & sempat berkhidmat di London sebelum Perang Crimea meletus pada 1853.
Bersama 34 orang lagi jururawat, Nightingale melapor diri di hospital yang menempatkan tentera British di Scutari, Constantinople. Di sana, Nightingale telah melakukan revolusi dalam rawatan & penjagaan pesakit, dengan menekankan soal kebersihan serta sanitasi.
Di malam hari, beliau sendiri akan memeriksa setiap satu pesakit sambil membawa pelita di tangannya, sehingga digelar "The Lady with the Lamp." Atas usahanya, kadar kematian di hospital berjaya dikurangkan sehingga dua pertiga.
Jasanya di Crimea telah menjadikannya orang rujukan dalam hal pengurusan pesakit di hospital. Beliau banyak menulis laporan, artikel & buku berdasarkan pengalaman & pengamatannya untuk menjadikan perkhidmatan kesihatan lebih baik.
Pada 1860, Nightingale membiayai penubuhan Hospital St. Thomas yang di dalamnya dibangunkan Sekolah Latihan Jururawat Nightingale. Kerana beliau, kejururawatan akhirnya dilihat sebagai satu kerja mulia.
Beliau hidup penuh dedikasi sehingga usia 90 sebelum menghembuskan nafas terakhir di rumahnya London pada Sabtu, 13 Ogos 1910. Mengenang jasa besar Nightingale, hari lahirnya disambut sebagai Hari Jururawat Sedunia.
Pengorbanan jururawat untuk memastikan kesejahteraan kesihatan sejagat adalah tidak terbalas. Cukup sekadar memberi kerjasama, ia dapat membantu meringankan beban mereka.
Sumber: History, National Archive UK
#PeristiwaHariIni
No comments
Post a Comment