NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bantuan tunai diesel: Pengusaha sektor tani perlu daftar dengan GeoAgro

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata subsidi dan insentif sedia ada kepada golongan nelayan dan pesawah akan terus dikekalkan.


KUALA LUMPUR: Petani, penternak, dan pengusaha akuakultur perlu berdaftar dengan Sistem Pendaftaran GeoAgro, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk mendapatkan bantuan tunai subsidi diesel melalui Program Bantuan Subsidi Madani (Budi Madani) di bawah kategori Budi Agri-Komoditi.

KPKM dalam kenyataan memaklumkan, petani, penternak, dan pengusaha akuakultur yang layak, boleh mendaftar dengan Sistem Pendaftaran GeoAgro berkenaan di pautan https://geoagroregister.kpkm.gov.my sebelum membuat permohonan di Portal Budi Madani di pautan https://budimadani.gov.my.


Menurut kenyataan itu pada masa sama, subsidi dan insentif sedia ada kepada golongan nelayan dan pesawah akan terus dikekalkan.

“Bagi nelayan, kerajaan akan terus memberikan subsidi diesel pada harga RM1.65 seliter kepada kategori pemilik vesel perikanan Zon A, B, dan C, tertakluk kepada kuota yang ditetapkan.

“Sebagai tambahan, kerajaan juga bersetuju menambah baik kadar sedia ada bagi insentif pembajakan iaitu daripada RM100 per hektar per musim kepada RM160 per hektar per musim dan memperkenalkan insentif penuaian pada kadar RM50 per hektar per musim.

“Menerusi kenaikan kadar ini, pesawah terlibat akan menerima bayaran insentif pembajakan dan insentif penuaian sebanyak RM210 per hektar per musim,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan selain daripada bantuan tunai kepada pengusaha sektor pertanian, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup turut membantu syarikat sektor pertanian dengan pemberian ‘fleet card’ diesel bersubsidi kepada kenderaan pengangkutan yang layak di bawah Sistem Kawalan Diesel Subsidi (SKDS) 2.0.

Ini termasuklah lori rigid hasil pertanian dan lori rigid kandang haiwan dan permohonan perlu dibuat melalui Sistem MySubsidi Diesel di pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my/.

Terdahulu hari ini, Kementerian Kewangan mengumumkan pelaksanaan Budi Madani susulan perutusan Perdana Menteri Anwar Ibrahim minggu lalu, berhubung keputusan Jemaah Menteri untuk melaksanakan penyasaran subsidi bahan api diesel, di Semenanjung.

Sehubungan itu, bagi membantu menstabilkan kos operasi sektor pertanian, kerajaan bersetuju menyediakan bantuan tunai bulanan RM200 di bawah inisiatif Budi Agri-Komoditi kepada petani, penternak, dan pengusaha akuakultur yang memenuhi syarat ditetapkan.

Sebarang pertanyaan berkenaan bantuan tunai subsidi diesel sektor pertanian boleh diajukan kepada Bilik Gerakan KPKM di talian 03-8870 1207 / 1147, bermula 8.30 pagi sehingga 5.30 petang pada hari bekerja atau emel kepada geoagroadmin@kpkm.gov.my.

Pemohon juga boleh hadir ke jabatan atau agensi KPKM yang berdekatan untuk mendapatkan khidmat nasihat pengisian borang permohonan.



Sumber | FMT Malaysia 








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo