NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ucapan penggulungan MB Terengganu, berkenaan sekatan royalti minyak




DENGAN 
perasaan yang berat sebenarnya, saya mesti merungkai dan menjelaskan persoalan yang dikemukakan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat, yang juga ditanya dalam kalangan rakyat Negeri Terengganu setiap waktu ketika kita bertemu dengan mereka sepanjang tempoh bulan Syawal ini– walaupun mungkin ulasan ini akan mengguris teman-teman di Putrajaya, tetapi inilah kalam pahitnya ubat, inilah hakikatnya. Saya akan cuba menjelaskannya, seperti kata orang dulu-dulu ‘bagai menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak’.

Penjelasan saya ini, sekali-kali tidak ingin menafikan rasa terima kasih kepada teman-teman di Putrajaya, yang pagi ini sekali lagi saya ucapkan terima kasih, kerana ada makluman terimaan baharu pada hari ini insya-Allah, di mana ada teman-teman kita di Putrajaya yang masih komited berusaha untuk menyalurkan dana wang royalti sebagai sepatutnya, walaupun dengan cara atau kaedah yang di luar dari tatacara dan pengurusan kewangan yang biasa diamalkan sejak puluhan tahun.

Walaupun tatacara kewangan ini pelik dan menyusahkan (di mana contohnya, pembayaran berpilih (selective payment) kepada projek pembangunan atau perkhidmatan ini dibayar terus oleh Kerajaan Pusat kepada kontraktor di negeri, walaupun surat setuju terima dan dokumen kontrak adalah antara kerajaan negeri dan kontraktor) tetapi kami akur, kerana itulah pada ketika ini yang boleh menyelesaikan urusan pembayaran-pembayaran yang ada dinyatakan dalam Belanjawan Negeri.

Di masa yang sama ini, kita juga sedar bahawa pelaksanaan kaedah sebegini hanya memberi bebanan kerja baharu kepada pihak Putrajaya dan negeri, sedangkan semua tahu bahawa akaun kewangan negeri akan tetap diaudit secara telus oleh jabatan berkaitan.

Suka saya jelaskan, berdasarkan dari dapatan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) yang menjalankan kajian mereka, melalui kerjasama dengan beberapa organisasi masyarakat sivil dan individu berfikiran sivik, Terengganu telah diisytiharkan sebagai kerajaan yang paling telus membentangkan belanjawan atau pengurusan kewangan berbanding negeri-negeri lain di Malaysia, di mana ketelusan tersebut adalah dinilai menerusi Malaysia Open Budget Index (MyOBI).

Untuk rekod dan makluman dewan mengenai terimaan kerajaan negeri, bagi tahun 2023, Kerajaan Persekutuan membayar sejumlah RM802.2 juta daripada anggaran asal kepada RM1.52 bilion. Daripada RM802.2 juta ini, sebanyak RM651.0 juta untuk emolumen, manakala RM109.0 juta untuk deffered and scheduled payment dan RM42.1 juta pula bayaran balik hutang kerajaan Persekutuan, dengan baki yang belum diberikan berjumlah sekurang-kurangnya untuk tahun 2023 sebanyak RM700 juta.

Begitu juga pada tahun ini 2024, Kerajaan Persekutuan membayar sebanyak RM301.7 juta berbanding anggaran RM762 juta untuk pemberian pertama, iaitu masih kekurangan RM461 juta sehingga pemberian kedua pada bulan September.

Jumlah yang diterima ini adalah sebanyak RM172.3 juta untuk emolumen, RM103.1 juta untuk deffered and scheduled payment dan RM26.3 juta untuk Bayaran Insentif Awal (BIA) Kajian Sistem Persaraan Perkhidmatan Awam.

Keadaan ini sudah pasti telah menimbulkan gangguan kewangan kepada kerajaan negeri secara mengejut.

Mengejut kerana hasil petroleum ini adalah hak negeri yang diterima sejak sekian lama, dan perancangan negeri telah dibuat di atas asas ini. Persoalannya yang kita tidak dapat jawab hingga ke hari ini ialah, kenapakah apabila berbeza sahaja fahaman politik, maka terus ada keadaan sebegini?

Inilah juga yang saya sebut di Dewan Rakyat pada 5 Mac 2024, yang saya nak ulang pada hari ini  bahawa sudah tiba masanya, kita meninggalkan budaya politik diskriminasi akibat warna parti politik dan pilihan yang dibuat oleh rakyat dalam sesuatu proses demokrasi pilihan raya dan ini adalah satu rupa bentuk tajdid (reform) yang semestinya berlaku dalam negeri dan negara kita, jika kita bercakap ingin menjadi sebuah negara yang diyakini dan dihormati di peringkat antarabangsa.

Saya juga menyebut, bahawa budaya diskriminasi terpilih (selected discrimination) seperti ini, adalah budaya lama kolot politik balas dendam, yang membawa negara kita ke belakang, dan jauh dari keharmonian.

Yang menjadi mangsa akhirnya adalah rakyat yang tidak berdosa. Akibatnya akan berlakulah sifat dendam mendendam, dan melahirkan reaksi tindak balas yang hanya boleh memuaskan hati tetapi tidak ada menguntungkan sesiapa.

Suka saya jelaskan, bahawa kita di negeri sekali-kali tidak ada sedikitpun perasaan untuk mempersalahkan sesiapa, apatah lagi ingin berseteru dengan sesiapa.

Manusia yang waras akan tahu bahawa tiada faedah dan tiada manfaatnya, untuk sesebuah kerajaan negeri bersifat keras atau bergaduh dengan Kerajaan Pusat, dan sama juga tidak ada faedahnya untuk sesebuah Kerajaan Pusat pun untuk bergaduh dengan mana-mana kerajaan negeri. Dua-dua tak ada faedah kerana Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri mempunyai objektif yang sama, iaitu membangunkan negeri dan negara.

Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) Negara juga disumbangkan oleh semua negeri-negeri.

Salah sangka dan curi-mencuriga antara sesebuah Kerajaan Pusat dan negeri, adalah satu keadaan no win situation di mana hakikatnya hati mungkin puas, tetapi kedua-dua kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat juga akhirnya yang akan rugi. – HARAKAHDAILY 25/4/2024

Tulisan di atas ialah petikan ucapan penggulungan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas 2024 pada 25 April 2024.





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo