KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Saifuddin Nasution Ismail berkata “tidak timbul isu” kurang sokongan MCA untuk calon gabungan itu dalam kempen PRK Kuala Kubu Baharu.
Ini kerana, katanya, MCA masih parti komponen Barisan Nasional (BN) yang menganggotai kerajaan perpaduan.
Beliau berkata, kehadiran MCA dalam mesyuarat dengan pemimpin kerajaan perpaduan baru-baru ini menunjukkan mereka sedia bekerjasama dengan kerajaan.
“Saya baru saja beberapa hari lepas dalam pertemuan pemimpin kerajaan perpaduan, Wee Ka Siong (presiden MCA) duduk sebelah saya. Ketika saya hadir pengerusikan mesyuarat PH dan BN minggu lalu di WTC (Pusat Dagangan Dunia), Naib Presiden MCA, Lawrence Low juga hadir.
“Saya anggap kehadiran mereka itu sebagai simbol kerjasama. Saya tengok dari sudut positif,” katanya selepas merasmikan Karnival Pencegahan Jenayah polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur Bersama Rakan Strategik di Perumahan Awam Sri Sabah.
Terdahulu, Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook hari ini dilaporkan berkata, tumpuan parti itu pada PRK Kuala Kubu Baharu adalah untuk memenangi hati pengundi, bukannya memujuk mana-mana parti membantu kempen mereka.
Loke ditanya sama ada DAP akan memujuk MCA untuk menyokong kempen PH.
Wee sebelum ini mengulangi pendirian partinya tidak akan membantu DAP berkempen dalam pilihan raya akan datang.
Berhubung kritikan Bersih terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming kerana mengumumkan peruntukan RM5.21 juta buat penduduk Hulu Selangor menjelang PRK 11 Mei ini, Saifuddin berkata, PH menghormati teguran pemantau pilihan raya itu.
“Kita ada undang-undang jelas berhubung perkara itu, termasuk Akta Kesalahan Pilihan Raya. Bersih telahpun menyuarakan pandangan mereka dan saya percaya semua pihak boleh buat pertimbangan sewajarnya,” kata menteri dalam negeri itu.
Bersih bimbang peruntukan itu ditambah gesaan menteri untuk pengundi menyokong parti “baik, prihatin dan progresif” boleh dianggap cubaan mempengaruhi pengundi dan membeli sokongan mereka.
Nga menafikan peruntukan itu mempunyai kaitan dengan PRK Kuala Kubu Baharu dan kementeriannya “memilih kawasan ini (Hulu Selangor) kerana ia tempat bertuah, Feng Shui ‘ong’ dan tempat baik”.
Sumber | FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment