Penyokong Perikatan Nasional semasa penamaan calon di Kuala Kubu Bharu. |
Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) yang bermula hari ini, menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon Bebas.
Perkara itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Yuhanas Auree Kamaruddin di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor hari ini, lapor Bernama.
“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima kertas penamaan daripada empat orang calon bagi pemilihan Dewan Undangan Negeri bagi bahagian pililhan raya N06 Kuala Kubu Baharu.
“Saya telah menyemak kertas-kertas penamaan dan setelah selesai disemak, saya berpuas hati memutuskan tiada yang ditolak kertas penamaanya,” katanya.
Bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pang Sock Tao yang dipertaruhkan untuk mewakili PH, dicabar pemangku Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor Khairul Azhari Saut mewakili PN, Hafizah Zainuddin (PRM) dan Nyau Ke Xin (Bebas).
Pusat penamaan calon di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor di sini dibuka pada 9 pagi tadi dan proses mengemukakan borang pencalonan berlangsung selama satu jam.
Khairul Azhari, 54, merupakan calon pertama menyerahkan borang pencalonan pada 9.04 pagi, diikuti Pang, 31, (9.07 pagi), Nyau, 29, (9.22 pagi) dan Hafizah, 50, (9.55 pagi).
Terdahulu, Pang yang mengenakan kemeja putih dan berseluar hitam tiba di pusat penamaan calon pada 8.40 pagi diiringi Pengerusi Barisan Nasional yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Naib Pengerusi DAP yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dan Pengerusi PH Selangor yang juga Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
Khairul Azhari pula diiringi beberapa pimpinan parti termasuk Pengerusi PN yang juga Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, manakala Hafizah yang juga Timbalan Ketua Biro Penerangan PRM, dan Nyau yang juga pengurus syarikat logistik di Shah Alam, diiringi penyokong dan pencadang masing-masing.
Proses penamaan calon menurut SPR berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.
SPR menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga 11.59 malam, 10 Mei.
Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRK KKB adalah sebanyak 40,226 orang, terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.
Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) yang digunakan bagi PRK Kuala Kubu Baharu ialah Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor.
Sebanyak 18 pusat mengundi biasa yang mengandungi 74 tempat mengundi atau saluran dan dua pusat mengundi awal iaitu di Rejimen Semboyan Divisyen Ke-4 Infantri dan Dewan Serbaguna Maktab Polis Diraja Malaysia, yang mengandungi tiga tempat mengundi atau saluran awal, akan digunakan.
Kesemua pusat mengundi dibuka dari 8 pagi hingga 6 petang, kecuali pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bukit Fraser yang mempunyai 40 orang pengundi, ditutup 2 petang.
SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan pada 11 Mei, manakala pengundian awal pada 7 Mei.
PRK KKB merupakan yang ketujuh selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 pada 2022.
Sumber | Agenda Daily
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment