GAZA: Mayat kanak-kanak perempuan, Hind Rajab berusia enam tahun ditemui bersama mayat saudara-maranya di dalam sebuah kereta yang musnah terbakar, selepas terperangkap akibat serangan tentera Israel di Gaza.
Portal berita Al-Jazeera melaporkan terdahulu, Hind memohon pasukan penyelamat menghantar bantuan selepas terperangkap akibat tembakan tentera Israel.
Mayat Hind ditemui bersama dengan lima mayat ahli keluarganya manakala dua pekerja ambulans dikejarkan ke lokasi untuk operasi menyelamat.
Rakaman oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) menunjukkan sebuah kenderaan dinaiki pasukan kecemasan serta kereta hitam di mana mayat Hind ditemui.
Bagaimanapun, REUTERS tidak dapat mengesahkan lokasi video berkenaan.
PRCS menuduh Israel sengaja menyasarkan ambulans yang dihantar untuk menyelamatkan Hind selepas dia menghabiskan masa berjam lamanya melalui telefon meminta bantuan dengan bunyi tembakan di sekeliling.
Rakaman audio Bulan Sabit Merah awal bulan ini merakam panggilan pertama dibuat sepupu Hind, Layan Hamadeh, memaklumkan sebuah kereta kebal Israel menghampiri sebelum tembakan berlaku.
Dipercayai sebagai satu-satunya mangsa yang selamat, Hind berada di talian selama tiga jam dengan penyelamat, yang cuba menenangkannya ketika mereka bersedia untuk menghantar ambulans. -AGENSI
No comments
Post a Comment