Penganalisis politik berpendapat faktor Nga Kor Ming tidak akan menjejaskan peluang pegawainya Pang Sock Tao pada PRK Kuala Kubu Baharu. (Gambar Bernama) |
PETALING JAYA: Penganalisis berpendapat DAP mengambil risiko dengan mengekalkan calon Cina pada PRK Kuala Kubu Baharu, walaupun sebelum ini diuar-uarkan mahu menampilkan pemimpin Melayu berikutan majoriti pengundi dari kaum itu.
Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata langkah meletakkan Pang Sock Tao itu mungkin sebagai strategi DAP kerana mahu mengekalkan penyokong terasnya iaitu pengundi bukan Melayu yang telah memilih Lee Kee Hiong pada PRN Ogos tahun lalu.
“Saya kira DAP percaya bahawa undi Cina masih utuh bersama PH dengan jumlah pengundi sekitar 30%, mereka yakin boleh mendapat sebahagian besarnya.
“Namun ia dianggap tindakan berisiko tinggi memandangkan 46% pengundi adalah Melayu diikuti Cina sekitar 30% dan 18% India, kalau menang satu pencapaian kepada kerajaan perpaduan,” katanya kepada FMT.
Menurut Awang Azman, Perikatan Nasional (PN) mungkin boleh memberi saingan jika meletakkan calon Melayu yang popular di kalangan penduduk tempatan, dengan sekurang-kurangnya merebut undi kaum itu.
“Namun jika calon Melayu kurang dikenali baru muncul ketika PRK, peluang PN sukar lebih-lebih lagi Selangor dan pusat dikuasai kerajaan perpaduan,” katanya.
Semalam, Pang yang juga setiausaha akhbar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming diumum sebagai calon PH pada PRK Kuala Kubu Baharu 11 Mei depan manakala lawannya dari PN akan diketahui malam ini.
Sementara itu, Zaharul Abdullah dari Universiti Sains Malaysia pula berpandangan Nga bukan punca utama jika pengundi Melayu terus menolak DAP pada PRK berkenaan.
“Momentum pengundian majoriti pengundi Melayu sejak PRU15 dan PRN kekal cenderung menolak PH, ini meningkat disebabkan sentimen Melayu-Islam yang didakwa disumbangkan pemimpin DAP termasuk Nga.
“Justeru saya lihat ia bukan faktor Nga semata-mata tetapi penolakan pengundi Melayu kepada DAP secara menyeluruh dan kekecewaan pengundi Melayu terhadap gabungan PH-BN,” katanya yang bagaimanapun berpendapat kebergantungan PN pada undi Melayu sahaja tidak cukup untuk menang.
Beliau mengulas sama ada pemilihan Pang sebagai calon PH akan terjejas susulan statusnya sebagai pegawai Nga yang didakwa telah membangkitkan beberapa isu kontroversi membabitkan orang Melayu seperti pengiktirafan Kampung Baru Cina sebagai tapak warisan.
Wan Hashim Wan Teh dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia pula berpandangan selain faktor calon dan parti pengundi juga akan membuat penilaian berdasarkan isu politik semasa dan keadaan ekonomi negara.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan berlaku peralihan sokongan daripada pengundi BN kepada PN sebagai tanda protes terhadap hubungan dengan DAP.
Sumber | FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment