NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kes saman fitnah Zahid terhadap Muhyiddin selesai secara baik



Kes saman yang difailkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terhadap bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, selesai secara baik di Mahkamah Tinggi pada Jumaat.

Kes saman itu, berhubung dakwaan Ahmad Zahid meminta bantuan Muhyiddin yang ketika itu perdana menteri untuk menyelesaikan atau menangguhkan perbicaraan kes jenayah dihadapinya, lapor Bernama.

Menerusi hantaran di akaun Facebook milik Ahmad Zahid dan Muhyiddin, mereka bersetuju dan mengambil keputusan menghentikan pertikaian peribadi mereka dan prosiding di mahkamah.

“Ia setelah mempertimbangkan kesan saman fitnah itu kepada umum dan mengambil kira saranan daripada Hakim Mahkamah Tinggi, serta keadaan semasa negara yang perlu diutamakan terutamanya soal kelangsungan kehidupan rakyat,” kata mereka dalam hantaran itu.

Ahmad Zahid dan Muhyiddin merakamkan penghargaan kepada hakim Mahkamah Tinggi dan pegawai-pegawai mahkamah yang terlibat dan berharap agar keputusan itu dapat diterima dan dihormati oleh semua pihak dan tidak dijadikan bahan yang boleh menganggu-gugat kesejahteraan serta kestabilan awam dan keyakinan rakyat kepada Institusi Kehakiman Negara.

Peguam Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Ahmad Zahid ketika dihubungi Bernama berkata kedua-dua pihak, memaklumkan persetujuan untuk menyelesaikan kes itu secara baik kepada Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong, semasa pengurusan kes menerusi sidang video hari ini.

Sebelum ini, mahkamah telah menetapkan perbicaraan kes itu selama 10 hari bermula 16 Okt.

Dalam saman yang difailkan pada 4 April 2022, Ahmad Zahid, 71, mendakwa Muhyiddin mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya pada majlis Pentas Perikatan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh, Mersing sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-15, di perkarangan Learning Centre Sentuhan Kasih Felda Tenggaroh 3 di Mersing pada 16 Feb 2022.

Berdasarkan pernyataan tuntutan itu, Ahmad Zahid mendakwa kenyataan fitnah tersebut antaranya membawa maksud bahawa beliau menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan dan menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang masih berjalan, meminta pertolongan Muhyiddin untuk mencampuri urusan perbicaraan kes berkenaan dan mengarahkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor.

Sementara itu, Muhyiddin, 76, dalam pernyataan pembelaan difailkan pada 9 Mei 2022 mendakwa kenyataan beliau bahawa Ahmad Zahid memintanya untuk campur tangan dalam kes jenayah di mahkamah adalah benar dan bukan memfitnah.

Presiden Bersatu itu mendakwa kenyataan dibuat semasa kempen PRN Johor itu merupakan komen adil serta berkepentingan awam.


Sumber | Agenda Daily







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo