PUTRAJAYA – UMNO dan Barisan Nasional (BN) komited untuk mengekalkan kesinambunan Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16)
Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid berkata, parti pimpinannya menyokong apa juga saranan demi kepentingan mewujudkan sebuah negara yang stabil dari segi politik dan ekonomi.
“Kita terbuka dan UMNO, BN amat menyantuni rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan dan 18 parti biar pun berbeza tetapi mempunyai objektif yang sama.
“Yang penting mesti mempertahankan kestabilan politik dalam negara kita dan PRU-16 adalah pilihan raya untuk menterjemahkan bagaimana kestabilan politik, penyatuan hati dan fikiran dalam kalangan komponen dapat dipertahankan,” katanya kepada media.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai strategi PKR yang akan memulakan gerak kerja bagi menghadapi PRU-16 dua tahun lebih awal dengan misi untuk memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim terus menjadi Perdana Menteri.
Menurut Ahmad Zahid, majoriti lebih dua pertiga Ahli Parlimen seramai 152 orang terdiri daripada 18 parti politik mesti dipertahankan dan kaedah bagi mempertahankan majoriti yang ada mempunyai pendekatan yang pelbagai.
“Pada hemat saya pemimpin politik yang terdiri daripada 18 parti politik ini mesti terus menjalin adunan keserasian dalam kalangan kami dan insya-Allah kita akan dukung demi kestabilan negara,” katanya.
Beliau ditemui pada Majlis Santunan Kasih Syawal Bersama Timbalan Perdana Menteri yang diadakan dikediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri, Sri Satria di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, apa yang penting adalah ekonomi mesti dijana dengan baik untuk memberi peluang kepada rakyat bukan sekadar peluang pekerjaaan dengan gaji minima tetapi dengan gaji premium.
Malahan skim gaji baharu penjawat awam yang akan diumumkan kerajaan memperlihatkan skim gaji akan memberikan peluang kepada penjawat awam untuk terus mempertingkatkan produktiviti.
Pada Konvensyen 25 Tahun Keadilan di Pusat Konvensyen Shah Alam (IDCC) baru-baru ini, Timbalan Presidennya Rafizi Ramli berkata, partinya mempunyai misi untuk memastikan Anwar terus menjadi Perdana Menteri selepas PRU-16.
Bagi tujuan itu PKR memperkenalkan kerangka kerja ‘Keadilan menang siri PRU ke-16’ (KEMAS16) dan pemerkasaan organisasi parti (POP25) sebagai hala tuju persiapan akar umbi dan pimpinan PKR merangka persiapan serta menggembleng kekuatan dalam menghadapi PRU-16.-MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment