Dr Zulkafperi Hanapi berkata pindaan perlembagaan Bersatu tidak boleh menghalang Ahli Parlimen dan Adun parti itu menyokong Anwar Ibrahim. (Gambar Facebook) |
KUALA LUMPUR: Dr Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjong Karang) “sedia” mengetuai jawatankuasa pelaksana skim insurans kesihatan nasional dicadangkannya demi kepentingan dan kebajikan rakyat.
Zulkafperi, wakil rakyat ke-6 Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Januari lalu mencadangkan skim itu ketika perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Sebelum ini, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang) dilantik mengetuai jawatankuasa menangani harga makanan dan kos sara hidup bawah Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (Naccol) 28 Jan lalu, dua bulan selepas mengisytiharkan sokongan kepada Anwar.
“Untuk pelaksanaan yang pantas dan berkesan tanpa banyak ‘redtape’, skim insurans kesihatan nasional wajar diletak sebagai agensi khusus langsung bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
“Kalau diperlukan, saya sendiri bersedia menawarkan diri untuk melaksanakannya atas arahan dan mandat perdana menteri demi kepentingan (serta) kebajikan kesihatan rakyat,” kata Zulkafperi.
Katanya, hampir setahun menyuarakan isu skim insurans kesihatan nasional di Dewan Rakyat, namun tidak nampak sebarang usaha ke arah melaksanakannya dalam waktu terdekat.
“Jadi sekarang saya bersuara sebagai Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan Madani dan berharap sangat soal skim insurans kesihatan nasional ini dapat dipertimbangkan dan dilaksanakan segera demi kepentingan kesihatan rakyat serta negara,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata pindaan perlembagaan Bersatu baru-baru ini tidak boleh menghalang Ahli Parlimen dan Adun parti tersebut menyokong Anwar.
Katanya, ini selepas Adun Selat Klang Abdul Rashid Asari menyatakan sokongan kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, semalam.
“Ini membuktikan pindaan perlembagaan Bersatu baru-baru ini tidak boleh menghalang Ahli Parlimen dan Adun menyokong perdana menteri,” katanya.
Pindaan perlembagaan Bersatu diluluskan sebulat suara pada perhimpunan agung khas 2 Mac lalu susulan tindakan enam Ahli Parlimennya menyatakan sokongan kepada Anwar.
Selain Zulkafperi dan Syed Hussin, Ahli Parlimen Bersatu lain adalah Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).
Sumber | FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment