Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, lelaki berusia 36 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

"Ketika serbuan dilakukan, kami menemui dua pasport dimiliki lelaki berkenaan iaitu pasport Perancis yang digunakannya untuk masuk ke Malaysia dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 12 Mac lalu serta satu pasport Israel.

"Pemeriksaan lanjut juga menemui enam senjata api termasuk SIG SauerSmith and Wesson serta Glock yang diletakkan di dalam beg berserta 200 peluru. Malah, tiga daripada senjata api itu turut diisi peluru.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada Majlis Berbuka Puasa di Masjid Al-Amin, Markas Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras, di sini, hari ini.

RAZARUDIN, gambar fail. FOTO NSTP
RAZARUDIN, gambar fail. FOTO NSTP

Razarudin berkata, hasil soal siasat dilakukan, suspek mendakwa kononnya dia masuk ke Malaysia bagi membunuh seorang individu warga Israel berkaitan masalah keluarga.

"Hasil soal siasat itu juga mendapati lelaki terbabit membeli enam senjata api berkenaan menggunakan mata wang kripto yang kita percaya ditempah sebaik dia tiba di sini.

"Siasatan lanjut dilakukan mendapati suspek terbabit pernah menetap di beberapa hotel lain sebelum ditahan di hotel berkenaan (Jalan Ampang)," katanya.

Beliau berkata, pihaknya percaya suspek tidak bergerak secara solo dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti kenalan lelaki itu.

"Mungkin lelaki itu ada agenda lain yang mendorong dia datang ke sini. Justeru, siasatan lanjut dilakukan bagi mengenal pasti motifnya secara menyeluruh termasuk kebarangkalian dia seorang ejen perisikan Israel.

"Pada masa sama, kita juga akan kesan individu yang membekal senjata api kepada lelaki berkenaan.

"Suspek direman selama empat hari bermula semalam hingga 31 Mac ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12 Akta Pasport 1966 dan Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971," .