NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Waktu kerja fleksi tak boleh rendahkan gaji penjawat awam, kerajaan diberitahu

Baru-baru ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau akan berbincang waktu kerja fleksibel atau tempoh kerja lebih pendek kepada penjawat awam wanita.


PETALING JAYA: Aturan waktu kerja fleksibel tidak sepatutnya menjurus pembayaran gaji lebih rendah buat penjawat awam tanpa mengira jantina, kata sebuah persatuan wanita.

Pada Sambutan Hari Wanita 2024 di Subang Jaya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau akan berbincang waktu kerja fleksibel atau tempoh kerja lebih pendek kepada penjawat awam wanita untuk membantu mereka menguruskan anak-anak dan keluarga. Bagaimanapun, ia mungkin melibatkan kadar gaji lebih rendah.

Pegawai Informasi dan Komunikasi Kanan All Women’s Action Society (Awam), Amanda Shweeta Louis berkata mengurangkan gaji wanita hanya memburukkan lagi kesenjangan upah jantina.

Katanya, ia hanya menguatkan lagi idea mereka yang bertanggungjawab menguruskan rumah tangga kurang layak mendapat pampasan adil.

“Wanita sentiasa dipaksa bekerja sambilan atau fleksibel kerana tanggungjawab rumah tangga, menyebabkan gaji lebih rendah dan peluang terhad untuk maju dalam kerjaya.

“Aturan kerja fleksibel perlu dipisahkan daripada gaji dan tersedia kepada semua kakitangan awam secara saksama,” katanya kepada FMT.

Beliau mencadangkan kerajaan melaksanakan skim pendapatan asas sejagat (UBI) meliputi semua pekerja bagi menangani isu fleksibiliti tanpa melebarkan kesenjangan gaji jantina atau memaksa wanita meninggalkan kerjaya mereka.

Louis berkata, skim UBI akan meringankan beban kewangan wanita dan memperkasa keseimbangan kerjaya dan tanggungjawab rumah tangga tanpa berisiko jatuh dalam kemiskinan.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Rashid, berkata membenarkan lelaki bekerja secara fleksibel juga membantu mematahkan peranan tradisional jantina dan stereotaip, tanggungjawab rumah tangga perlu digalas wanita semata-mata.

“Kesaksamaan jantina di tempat kerja bermaksud lelaki dan wanita sepatutnya berpeluang mengimbangi waktu kerja dan tanggungjawab keluarga,” katanya.

Syerleena berkata, pendekatan lain adalah mewajibkan syarikat dan bangunan kerajaan menyediakan pusat penjagaan kanak-kanak buat kakitangan, sambil menambah kerajaan juga mempertimbang bekerja dari rumah sebagai pilihan kepada semua penjawat awam.

Pada 8 Mac, Anwar berkata jika cadangan pelaksanaan waktu kerja fleksibel diterima, ia menyaksikan Malaysia menjadi negara pertama di dunia memperkenal waktu kerja sedemikian kepada penjawat awam wanita.


Sumber | FMT Malaysia 



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo