NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ubah hala tuju demi perpaduan ummah, pemimpin PAS beritahu Amanah

Hashim Jasin mengulangi pendirian Ahmad Samsuri Mokhtar mempelawa Amanah untuk bersatu di bawah Muafakat Nasional.


PETALING JAYA: Seorang pemimpin PAS berkata Amanah harus mengubah hala tujunya dan tidak lagi menolak kerjasama perpaduan ummah di bawah Muafakat Nasional (MN).

Mursyidul Am PAS Hashim Jasin berkata perjuangan itu harus berobjektifkan kepada memperjuangkan nasib Melayu dan Islam yang didakwanya semakin ditekan.

Bagaimanapun bekas Adun Sanglang itu tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai dakwaannya berhubung tekanan terhadap Melayu Islam terbabit.

“Itu hak mereka (tolak MN) tetapi saya rasa hala tuju yang mereka sepatutnya pilih dalam keadaan bangsa dan agama semakin ditekan adalah ke arah perpaduan.

“Kalau hari ini tak begitu kuat tekanannya tapi untuk masa depan Amanah perlu ubah hala tuju…kena fikir secara mendalam tentang kesan daripada sikap mereka tak mahu bersama agenda perpaduan ummah,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar yang menegaskan parti itu tidak akan menyertai MN kerana enggan menjatuhkan kerajaan seperti dilakukan komponen itu terhadap Pakatan Harapan (PH) merujuk kepada Langkah Sheraton pada 2020.

Mahfuz dilaporkan berkata kerjasama itu juga tidak perlu kerana PAS, antara pelopor MN telah menolak muafakat perpaduan bagi membentuk pentadbiran Putrajaya selepas PRU15.

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar kelmarin yang terbuka “menghidupkan semula” MN menerusi kerjasama politik antara parti berasaskan Melayu termasuk serpihannya, Amanah.

Hashim juga mengulangi pendirian Samsuri mempelawa Amanah untuk bersatu di bawah gerakan MN dipeloporinya bersama Umno pasca PRU14, ketika kedua-duanya dalam blok pembangkang.

“Saya selalu tegaskan, ini bukan arahan kita tapi Allah yang suruh, buat dapat pahala.

“Lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan ini kena fikir hala tuju kita, elok kita tekankan ke arah itu (perpaduan ummah menerusi MN),” katanya yang turut menegaskan tidak mahu bersama dalam blok membabitkan DAP.

“Kita dah (pernah) bersama DAP, tahu hati perut mereka maka tak boleh bersatu atas dasar itu.”


Sumber | FMT Malaysia 







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo