NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tidak seperti UMNO, pengundi mungkin tak mahu kerjasama PH-Bersatu lagi, kata Amirudin

Amirudin Shari berkata, sentimen ahli akar umbi perlu diambil kira sebelum sebarang kerjasama antara PH dan Bersatu dapat dilaksanakan. 


SHAH ALAM: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor Amirudin Shari menyanggah cadangan agar gabungan itu menjalin kerjasama dengan Bersatu sebelum PRU akan datang.

Amirudin berkata, pengundi PH mungkin tidak mahu gabungan itu bersekutu dengan Bersatu sekali lagi, ekoran peranan parti pimpinan Muhyiddin Yassin itu dalam Langkah Sheraton pada Februari 2020, yang membawa kepada kejatuhan kerajaan PH.

Katanya, sebarang kerjasama antara PH dengan Bersatu bukan terpulang kepada pemimpin gabungan semata-mata kerana sentimen akar umbi perlu diambil kira.

“Bersatu buat kita sengsara selepas PRU14. Keputusan mereka (meninggalkan kerajaan) meruntuhkan keseluruhan rancangan reformasi kita untuk negara dan kini kena mula daripada awal.

“(Keputusan PH bekerjasama dengan Bersatu) bukan hanya antara (pengerusi PH) Anwar Ibrahim dengan Azmin Ali dan Muhyiddin. Kita perlu pertimbangkan perasaan dan sentimen pengundi selepas mereka jadi mangsa Langkah Sheraton,” kata menteri besar Selangor itu selepas sebuah majlis di Dewan Raja Muda Musa.

Bersatu ialah komponen PH dari 2016 hingga 2020.

Dalam Langkah Sheraton, Bersatu meninggalkan PH untuk membentuk kerajaan baharu bersama PAS, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah dan sekumpulan bekas ahli PKR, termasuk Azmin.

Semalam, bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim berkata, PH sepatutnya boleh menjalin suatu bentuk kerjasama dengan Bersatu, memandangkan gabungan itu boleh bekerjasama dengan Umno.

Bekas ahli PKR dan DAP itu berkata, Bersatu hanyalah parti “serpihan” Umno dan sepatutnya turut boleh diterima PH.

Zaid juga berkata, PH boleh membenarkan Azmin menjadi menteri besar Selangor.

Tambahnya, prospek Anwar bergandingan dengan Azmin adalah suatu “senario yang dialu-alukan”.

Amirudin berkata, cadangan Zaid itu boleh dilaksanakan, namun beliau menegaskan bahawa PH mempunyai strategi tersendiri untuk PRU akan datang.

Katanya, kedudukan PH semakin kukuh di Selangor sejak PRN pada Ogos tahun lepas, apabila gabungan itu kehilangan majoriti besarnya di DUN.

“Kita harap dengan momentum sebagai kerajaan negeri dalam tempoh enam bulan lepas, kita akan dapat rampas semula beberapa kerusi pada PRN akan datang,” katanya.

Dalam perkara berasingan, Amirudin berkata, keputusan Adun Selat Klang Abdul Rashid Asari menunjukkan sokongan terhadap dirinya menjadi tanda bahawa kepimpinan Bersatu berantakan.

Katanya, tindakan Rashid itu “sangat mengejut”, di luar jangkaannya, dan beliau percaya ia disebabkan perpecahan dalaman Bersatu.


Sumber | FMT Malaysia 








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo