ALOR SETAR: Pelan Pembangunan Kedah 2035 telah dirangka kerajaan negeri lengkap dengan pelbagai strategi dan inisiatif bagi mempersiapkan Kedah menghadapi cabaran ekonomi lokal dan global menjelang tahun 2040.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor (PAS-Jeneri) berkata, berdasarkan kepada strategi dan inisiatif yang dirangka, Pelan Pembangunan Kedah yang disasarkan pencapaian dan matlamatnya sehingga 2035 itu akan dibuat kajian semula setiap lima tahun, agar ia terus relevan bagi menghadapi cabaran ekonomi menjelang tahun 2040.
“Kedah tidak berkecuali dari menerima tempiasnya, di samping mengambil kira unjuran jumlah penduduk negeri yang meningkat dari 2.19 juta (2021) kepada 3.46 juta menjelang 2040.
“Cabaran mengekalkan status negeri ini sebagai ‘Rice Bowl of Malaysia’ serta kawasan liputan tanah berhutan akibat tekanan arus urbanisasi juga semakin terhad.
“Namun, Pelan Pembangunan Kedah 2035 yang dilengkapkan dengan pelbagai strategi dan inisiatif yang dilihat mampu mempersiapkan negeri Kedah menghadapinya,” kata beliau ketika menjawab soalan lisan yang diutarakan oleh Dato’ Najmi Ahmad (PAS-Kupang) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), penggal ke 15, di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.
Dalam soalan lisan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang tersebut juga menyatakan bahawa beliau memerlukan penjelasan daripada kerajaan negeri dalam persiapan untuk menghadapi cabaran ekonomi global menjelang 2040.
Selain itu, ujar Sanusi, usaha dan perancangan kerajaan negeri termasuk pembangunan infrastruktur digital seperti Pusat Data dan ‘Internet Exchange’ sebagai ‘enabler’ kepada sektor perindustrian berteraskan teknologi tinggi serta Program Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang akan melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memenuhi permintaan industri berteknologi tinggi.
“Ia termasuklah projek Penanaman Padi Secara Estet dan tanaman padi lima kali dua tahun bagi membantu menjamin keselamatan makanan termasuk program yang melibatkan inisiatif Tenaga Boleh Diperbaharui (Renewable Energy) seperti Pembangunan Janakuasa Hidro dan Ladang,” jelasnya.
Mengulas lanjut, ujar beliau lagi, ekonomi dunia pada hari ini berada dalam keadaan yang mencabar berikutan faktor ketegangan geopolitik dan perdagangan yang berpanjangan serta perubahan iklim telah memberi kesan kepada ekonomi Malaysia yang bercirikan ekonomi terbuka dan bergantung kepada perdagangan.
Tambah Sanusia, menjelang 2040, ekonomi global dijangka terus menghadapi cabaran antaranya perubahan demografi penduduk dunia yang akan mempengaruhi struktur tenaga kerja dan permintaan pengguna, termasuk perubahan teknologi yang akan menyaksikan penggunaan kecerdasan buatan (Al), automasi dan pengguna robotik bakal mengubah landskap pekerjaan.
“Selain itu, perubahan iklim yang menyaksikan cuaca ekstrem, kenaikan paras air laut dan kemerosotan kualiti alam sekitar akan membawa kesan bencana alam dan seterusnya memberi impak kepada ekonomi sesebuah negara.
“Cabaran ekonomi global juga akan menyebabkan jurang pendapatan penduduk melebar kesan daripada pertumbuhan ekonomi yang tidak seimbang.
“Sumber air, tenaga dan makanan yang terhad tidak mampu menampung permintaan yang semakin meningkat, seiring dengan pertambahan penduduk dunia boleh mencetuskan tekanan ekonomi dan konflik,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/3/2024
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment