NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Stoking kalimah ALLAH: Syarikat pengedar hanya naikkan kain rentang mohon maaf



BATU PAHAT - Syarikat pengedar Xin Jian Chang Sdn Bhd yang beroperasi di Batu Pahat menaikkan kain rentang bagi memohon maaf kepada rakyat Malaysia susulan stoking yang tertera kalimah ALLAH.

Tinjauan Sinar Harian di kilang berkenaan pada Rabu mendapati pintu pagarnya berkunci selain terdapat kain rentang berkenaan.

Pada kain rentang berkenaan juga pihak kilang berjanji akan memastikan sensitiviti masyarakat berbilang agama terjaga, keharmonian terpelihara selain meningkatkan usaha bagi kawalan kualiti.

Kilang yang terlibat dengan pengedaran stoking itu juga didapati tidak beroperasi pada Rabu.

Sebelum itu, polis telah memanggil tiga individu melibatkan pemilik, pengurus dan pekerja kilang berkenaan untuk diambil keterangan berhubung isu stoking yang tertera kalimah ALLAH yang dijual di sebuah kedai rangkaian serbaneka, KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) di Bandar Sunway, Petaling Jaya.

Menurut, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, kesemua mereka dipanggil untuk memberikan keterangan berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat.

"Polis dalam proses merakam percakapan pemilik dan semua pekerja kilang yang berurusan bagi mendapatkan bekalan selain mengedar.

"Pagi ini (Rabu), polis telah selesai merakam percakapan melibatkan pemilik kilang, pengurus dan pekerja yang bertugas. Jumlah ini mungkin akan bertambah dari semasa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, Ismail berkata, polis menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya mengetahui maklumat terdapat penjualan stoking yang tertera kalimah ALLAH.

Katanya, maklumat yang diperoleh perlu dilaporkan atau disalurkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.

Pada Selasa kilang berkenaan juga mendedahkan terdapat pihak mengugut untuk membakar premis mereka.

Xin Jian Chang Sdn Bhd dalam satu kenyataan berkata, ia susulan syarikat tersebut terpalit dengan kontroversi pengedaran stoking tertera kalimah ALLAH.

Dalam pada itu pada Selasa, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim murka serta menzahirkan perasaan dukacita berhubung isu berkenaan.

Seri Paduka Baginda mahu tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah dalam isu ini berdasarkan siasatan pihak berkuasa.

Pada Isnin, media melaporkan polis membuka dua kertas siasatan terhadap laporan berhubung isu itu.

Sabtu lalu, Pengurusan tertinggi KK Mart menyatakan kesal dan meminta maaf berhubung penjualan stoking yang tertera tulisan kalimah ALLAH.


Sumber | FMT Malaysia 





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo