SHAH ALAM - Tindakan membuka satu kertas siasatan terhadap pensyarah dan Felo Majlis Profesor Negara, Profesor Emeritus Datuk Teo Kok Seong hanya akan membangkitkan perasaan tidak senang dalam masyarakat.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Mohd Zaid Ibrahim berkata, hal itu secara tidak langsung akan membuatkan orang ramai mempunyai persepsi bahawa bangsa Cina merupakan kaum yang dilindungi dan tidak boleh dikritik.
“Teo Kok Seong merupakan seorang ahli akademik yang disegani. Dia bukanlah seorang yang mudah mengeluarkan kenyataan. Saya kenal dia.
“Kalau dia kata ada orang Cina di sekolah vernakular memandang rendah terhadap orang Melayu, dia mesti ada bukti yang boleh dipercayai hal itu.
“Begitu juga, ada segelintir orang Melayu yang menghina orang Cina. Tidak perlu membuat laporan mengenai perkara sebegini. Ia adalah perkara biasa. Inilah realiti di negara kita,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial, X pada Selasa.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa, Kok Seong menerusi satu rakaman video di TikTok mendakwa sekolah jenis kebangsaan Cina menyebarkan sentimen perkauman terhadap orang Melayu.
Susulan itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan dibuka di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Justeru, Mohd Zaid menggesa agar pemimpin negara lebih berusaha untuk memperbaiki hubungan antara kaum agar menjadi wira dalam komuniti.
Menurutnya, hanya melalui kepimpinan yang bertanggungjawab boleh menyelamatkan negara, namun perlu bekerja keras dan bertindak lebih bijak untuk meraih kebersamaan itu.
“Jika ada rasa tidak puas hati dan rungutan, cari punca serta jalan penyelesaian.
“Lagipun, kita bukan (komuniti) agresif. Kita secara semula jadinya akomodatif dan menyenangkan. Bukankah kita terkenal dengan memberi dan menerima?” soalnya.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment