PETALING JAYA: Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) menggesa kerajaan bersikap telus mengenai kaedah semakan digunakan dalam mengeluarkan kad media.
Ini susulan laporan Malaysiakini bahawa tempoh sah kad media baharu untuk wartawan dari portal berita dalam talian lebih singkat. Laporan lanjut memetik Jabatan Penerangan bahawa ia sedang menyemak prosedur operasi standard (SOP) bagi pengeluaran kad media.
NUJ dalam kenyataan berkata, Kementerian Komunikasi patut mengekalkan tempoh sah dua tahun untuk kad media, tanpa mengira saluran media petugas terbabit.
“Kami harap pihak kementerian lebih telus mengenai perancangannya berhubung semakan kad media,” kata Setiausaha Agung NUJ Teh Athira Yusof.
Kad media membolehkan wartawan membuat liputan acara rasmi, seperti di Pejabat Perdana Menteri dan Parlimen.
Kad media wartawan tempatan lazimnya sah selama dua tahun, manakala bagi media asing pula, setahun.
Malaysiakini memetik Jabatan Penerangan berkata, semakan SOP untuk kad media itu susulan arahan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil selepas pelancaran kod etika wartawan bulan lepas.
Semakan itu dilaporkan melibatkan syarat bagi pengeluaran kad media untuk wartawan media asing serta saluran berita dalam talian tempatan.
Teh Athira berkata, kerajaan sepatutnya fokus terhadap semakan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, serta menubuhkan majlis media, bukannya mengubah syarat bagi pengeluaran kad media.
Katanya, mengurangkan tempoh sah kad media untuk wartawan dilihat sebagai satu langkah ke belakang.
“Nampaknya semakin kita meminta kebebasan akhbar, semakin mereka cuba mengawal dan menyekatnya dengan cara lain,” katanya.
Sumber | FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment