Daim Zainuddin, isteri dan empat anaknya memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 10 Jan dengan menamakan SPRM dan Pendakwa Raya sebagai responden. |
PETALING JAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan 9 Mei bagi mendengar rayuan bekas Menteri Kewangan Daim Zainuddin dan keluarganya membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mereka.
Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin ketika dihubungi Bernama, mengesahkan tarikh pendengaran rayuan itu ditetapkan semasa prosiding pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Norshakinah Ahmad Kamarudin hari ini, menurut laporan Bernama.
Liew mewakili Peguam Negara pada prosiding pengurusan kes hari ini, manakala peguam Alicia Gomez mewakili Daim dan keluarga.
Daim dan keluarganya memfailkan rayuan pada 5 Mac, sehari selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka.
Pada 4 Mac, Hakim Mahkamah Tinggi Wan Ahmad Farid Wan Salleh memutuskan bahawa Daim dan keluarganya gagal membuktikan terdapat unsur mala fide (niat jahat) terhadap pegawai SPRM yang menjalankan siasatan.
Daim, 85, isterinya Nai’mah Abdul Khalid, 66, dan empat anak mereka – Asnida, 62, Md Wira Dani, 45, Muhammed Amir Zainuddin, 28, dan Muhammed Amin Zainuddin, 25 – serta Ilham Tower Sdn Bhd memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 10 Jan.
Mereka menamakan SPRM dan Pendakwa Raya sebagai responden.
Menerusi permohonan itu, pemohon mendakwa pada 30 Dis 2023, SPRM mengeluarkan kenyataan bahawa satu siasatan terhadap Daim telah dibuka berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Kertas Pandora.
Daim berkata Kertas Pandora ialah fail sulit bocor pada 2021 yang mendedahkan nama pemilik syarikat luar pesisir, aset serta akaun bank di luar bidang kuasa Malaysia, dan kesemua fail tidak menunjukkan sebarang salah laku beliau dan keluarganya.
Oleh itu, mereka memohon antara lain perintah mahkamah supaya SPRM dan pegawainya membatalkan semua siasatan dimulakan terhadap mereka dari Februari 2023 sehingga kini serta membatalkan semua notis dikeluarkan oleh SPRM.
Sumber | FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment