NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Selepas Zahid, Isa Samad juga dibebas daripada tuduhan rasuah RM3 juta



Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini melepas dan membebaskan bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad daripada kesemua sembilan pertuduhan rasuah membabitkan RM3 juta berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Untuk rekod, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada September tahun lalu juga dibebaskan tanpa dilepaskan pembebasan (DNAA) untuk 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, secara sebulat suara membatalkan sabitan dan hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Feb 2021 selepas membenarkan rayuan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu.

“Terdapat merit dalam rayuannya dan ia dibenarkan. Rayuan terhadap sabitan dan hukuman dibenarkan. Perintah Mahkamah Tinggi diketepikan,” kata hakim itu.

Dua lagi hakim yang turut bersidang Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S.M. Komathy Suppiah.

Beliau didakwa pada 2018 dengan sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3,090,000 daripada Ikhwan Zaidel, iaitu Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), menerusi bekas pegawai politik khas beliau, Muhammad Zahid Md Arip, sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC di sini, antara 21 Julai 2014 dan 11 Dis 2015 dan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali
ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz manakala Mohd Isa diwakili peguam Datuk Salehuddin Saidin.


Sumber | Agenda Daily






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo