Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh berkata kerajaan juga perlu membuat kajian menyeluruh bagi menambah baik ekosistem pendidikan sekolah kebangsaan bagi menarik murid pelbagai bangsa. |
PETALING JAYA: Pemuda Umno mencadangkan satu dialog nasional diadakan bagi membincangkan integrasi aliran pendidikan kebangsaan dan vernakular bagi merapatkan kembali jurang perpaduan antara kaum di negara ini.
Ketuanya Dr Akmal Saleh berkata polemik berkaitan kaum ketika ini menunjukkan masih wujud jurang nilai dan pemisahan persefahaman antara rakyat berbilang bangsa di negara ini.
Katanya, ketidakfahaman antara kaum yang kian melarat ini adalah berpunca daripada sistem pengasingan bermula sejak dari bangku sekolah lagi.
“Pemuda Umno mencadangkan agar dihidupkan kembali suatu ruang dialog nasional bagi meneroka wawasan baharu ke arah integrasi pendidikan negara dalam erti kata yang sebenar-benarnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Akmal berkata, Pemuda Umno mengakui isu pendidikan vernakular adalah rumit dan sensitif terutama sekali dengan polemik yang melingkari isu tersebut.
“Bagaimanapun, kerajaan tidak mempunyai pilihan melainkan untuk menerajui usaha ini bagi memastikan ia diurus dalam kerangka yang penuh cermat, di luar pengaruh sentimen, syak wasangka dan hasutan.”
Akmal juga mencadangkan beberapa langkah interim termasuk penilaian menyeluruh terhadap ekosistem pendidikan vernakular dalam aspek keselarasan silibus, penerapan nilai-nilai kenegaraan dan penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Katanya, kerajaan juga perlu membuat kajian menyeluruh bagi menambah baik ekosistem pendidikan kebangsaan bagi menarik murid pelbagai bangsa dan merangka pelan model integrasi pendidikan tanpa menyisihkan hak kaum lain untuk memelihara warisan bahasa ibunda masing-masing.
Sumber | FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment