Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti soal penentuan calon perdana menteri untuk PRU16. (Gambar Facebook) |
PETALING JAYA: Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar terbuka “menghidupkan semula” Muafakat Nasional (MN) menerusi kerjasama politik antara parti berasaskan Melayu termasuk serpihannya, Amanah.
“Saya rasa ia sepatutnya termasuk juga Amanah, selain Umno dan sebagainya.
“Parti berasaskan Islam-Melayu dapat bersama. Bersama bukan bermaksud kita bergabung menjadi satu parti. Yang penting adalah kita bekerjasama. Itu objektif tertinggi kita letakkan,” kata menteri besar Terengganu dalam podcast Keluar Sekejap dikendalikan Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Dr Sam berkata, perlu ada sikap dinamik dalam kalangan ahli politik kerana tiada musuh atau rakan selama-lamanya dalam persada politik negara.
“Yang penting kita buat keputusan berdasarkan apa yang betul, bukan disebabkan sentimen,” katanya.
Pada 14 Feb lalu, Mursyidul Am Hashim Jasin “yakin” ada perbincangan secara tidak langsung antara pimpinan partinya dengan Umno bagi menghidupkan MN, digagaskan ketika kedua-duanya dalam blok pembangkang sebagai usaha penyatuan ummah pasca PRU14 yang dimenangi Pakatan Harapan (PH).
Kenyataan Hashim bagaimanapun dibidas Presiden Umno Zahid Hamidi dengan berkata, PAS tidak ikhlas menawarkan kerjasama menghidupkan semula MN.
PAS dan Umno melalui pertikaian berpanjangan mengenai MN apabila saling menuduh mengabaikan piagam kerjasama dimeterai mereka hampir lima tahun lalu.
Hubungan parti tersebut tegang apabila PAS menyertai Perikatan Nasional (PN) pada 2020 yang diterajui Bersatu, sekali gus mahu parti serpihan Umno itu turut menyertai MN.
Sementara itu, Samsuri berkata beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti soal penentuan calon perdana menteri untuk PRU16.
“Kalau tanya saya, jadi MB pun saya tak nak. Apa lagi jawatan lebih berat daripada itu. Tapi kalau ‘diarahkan’ parti dan pimpinan tinggi kata begitu, terpaksa tunaikan tanggungjawab itu,” katanya.
Pada 27 Nov lalu, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dalam siri kempen PRK Kemaman berkata beliau tidak menolak Samsuri sebagai calon perdana menteri masa depan gabungan itu.
Katanya, pemilihan Samsuri sebagai calon PRK Kemaman antara langkah strategik untuk memberi gambaran bahawa gabungan itu tidak ketandusan pemimpin wibawa.
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment