Beliau menyamakan mereka yang begitu dan mengulang-ulang sebutan ‘Madani’ adalah seperti burung tiong dan burung kakak tua, semasa berucap perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, semalam.
Ahli Parlimen Marang itu malah turut mengkritik sikap ‘tidak Madani’ kerajaan dalam beberapa isu iaitu peribadi pemimpin, kedaulatan, pembangunan infrastruktur wilayah dan pencen, selain isu dunia antarabangsa.
‘Madani’ pemimpin jelasnya, apabila bersikap adil pada diri sendiri yakni juga tidak fasik, bohong, menipu, mungkir janji dan khianat, serta tidak melakukan dosa besar dan kecil, barulah dapat melaksana keadilan kepada semua termasuk musuh.
Manakala ‘Madani’ pada kedaulatan itu terangnya, adalah apabila semua pihak dalam negara dilibatkan dan diberikan haknya termasuk di bidang perundangan di mana ia hanya akan terlaksana dan terjamin apabila agama Islam didaulatkan.
Menyentuh keadaan ‘tidak Madani’ dalam kemajuan negara pula kemuka beliau, apabila pembangunan infrastruktur antara wilayah melibatkan Malaysia Timur dan Pantai Timur yang ketinggalan berbanding keutamaan diberi kepada wilayah Barat Semenanjung.
Begitu juga menurut beliau, sikap ‘tidak Madani’ kerajaan yang menyekat dari memberi peruntukan sama rata kepada Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan-kerajaan negeri dari parti politik berbeza, sedangkan mengutip cukai dari semua.
Termasuk ‘tidak Madani’ kupasnya, apabila kerajaan mahu memansuhkan pencen pesara perkhidmatan awam, sedangkan penghargaan jasa kepada penjawat awam seperti itu diaplikasi dari sistem pentadbiran Islam dahulu kala.
Presiden Kebajikan Rangkaian Bekas Angkatan Tentera (KERABAT), Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar bersetuju dengan ungkapan Tan Sri Abdul Hadi menyamakan penggunaan ‘Madani’ seperti burung tiong dan burung kakak tua itu.
Beliau malah menyifatkan penggunaan ‘Madani’ oleh kerajaan sekarang hanyalah untuk dijadikan stiker barangan bantuan atau sumbangan dan penghias program, tetapi mereka sendiri tidak memahami maksud perkataan itu.
Katanya, kritikan disuarakan Presiden PAS itu amat tepat khususnya berkaitan pencen di mana kerajaan pada hari ini ‘tidak Madani’ apabila mahu memansuhkan pencen pesara perkhidmatan awam yang disifatkan Nazari sebagai berundur ke belakang.
Jelas beliau, ‘Madani’ sepatutnya menunjukkan satu tamadun dan terdapatnya unsur kemajuan sepertimana Ahli Parlimen Marang telah menjelaskan bahawa pencen berasal daripada Tamadun Islam yang pernah tertegak dahulu.
“Pencen itu adalah cara bagaimana kerajaan mengenang jasa dan budi kakitangan kerajaan, sebenarnya yang itu tidak ada pada dasar penswastaan. Ya dasar penswastaan ini sebenarnya adalah satu dasar baru yang dibawa oleh pihak korporat.
“Dasar penswastaan ini hanya mementingkan keduniaan. Walhal dulu kalau kita perasan kita dulu ada hal ehwal elektrik, air dan lain-lain di bawah kerajaan, tetapi setelah itu semua perkhidmatan berkenaan diswastakan ia hanya nampak kewangan.
“Apa-apa hal beri pampasan. Hakikatnya itu bukan yang dikehendaki oleh kita bila sampai ke satu tahap warga emas atau warga tua. Yang kita perlukan ialah satu sekuriti ataupun jasa baik dikenang,” ujar bekas Pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia ini.
Menurut beliau, walaupun imbuhan pencen tidak banyak, tetapi ia meliputi bantuan seperti kesihatan yang merupakan satu kebajikan, juga rebat atau potongan menaiki kereta api dan menginap hotel sebagai tanda balas jasa.
Jelasnya, banyak kebaikan daripada pencen di mana ianya juga untuk masa depan anak-anak keluarga pesara iaitu untuk pendidikan mereka dan keistimewaan lain, tetapi akan hilang dengan rancangan pemansuhan pencen oleh kerajaan sekarang.
Kerana jelas beliau, anggota tentera semasa perkhidmatan perlu bertugas 24 jam sehari dan 7 hari seminggu di mana tidak mungkin kerajaan akan membayar gaji tiga kali ganda berbanding perkhidmatan awam yang lain.
Bahkan Nazari turut mencadangkan pencen diperluaskan kepada kakitangan syarikat berkaitan kerajaan yang penting kerana kebaikan dan keistimewaan itu wajar atas perkhidmatan pernah mereka berikan. – HARAKAHDAILY 7/3/2024
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment