NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

KPKM digesa atasi hasil padi KADA merosot




GEORGETOWN: 
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) digesa mengambil tindakan segera untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh para pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) bagi meningkatkan hasil pendapatan mereka dan pengeluaran beras negara.

Menurut Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader, selain infrastruktur menjadi salah satu punca kemerosotan hasil padi di KADA, penyusutan tanah sawah akibat pelaksanaan projek pembangunan dan lain-lain masalah seperti ancaman banjir, kemarau, serangan serangga perosak termasuk tanah sawah jerlus turut menyumbang kepada kekurangan hasil padi di kawasan itu.

Katanya, walaupun hasil padi di kawasan tersebut melepasi purata hasil nasional 4.1 tan metrik sehektar, namun KADA masih ketinggalan berbanding hasil negeri Selangor 4.32 tan metrik, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) 4.24 tan metrik dan Pulau Pinang 5.05 tan metrik sehektar.

“Masalah sistem pengairan tidak sempurna dan gagal berfungsi dengan berkesan telah menyebabkan beberapa kawasan sawah di KADA terancam.

“Banyak pokok padi terencat pembesarannya musnah akibat kemarau dan banjir,” ujarnya dalam kenyataan media, di sini.

Menurutnya, pada Mei 2023 seluas 7,800 hektar tanaman padi di kawasan itu terjejas berikutan cuaca panas yang berlaku di Kelantan.

Katanya, pada Disember tahun yang sama KADA turut mengalami kerugian sebanyak RM17 juta akibat kemusnahan pokok padi ditenggelami air ketika banjir.

Tambahnya, pada 2022 berpunca dari masalah sistem saliran juga seluas 1,000 hektar tanah sawah menjadi jerlus dan KADA telah kehilangan hasil padi sebanyak 4,200 tan metrik.

“Kejadian ini amat membimbangkan CAP dan jika tidak ditangani segera lebih luas tanah sawah di jelapang padi ini tidak dapat diusahakan dan terbiar,” ujarnya.

Justeru itu, kata beliau untuk menyelamatkan masa depan sumber pendapatan dan kehidupan 7,648 pesawah dan mengekalkan 25,149 hektar kawasan sawah di KADA, CAP berharap KPKM mengambil tindakan segera ke atas punca-punca berlakunya masalah tersebut.

CAP juga, ujarnya meminta jabatan dan agensi yang terlibat memberi perhatian serius mengenai kesan penggunaan racun perosak serta jentera berat yang boleh mengancam alam sekitar dan menjejaskan tanah sawah.

“CAP percaya jika masalah tersebut berterusan bukan saja para pesawah KADA akan mengalami kesempitan hidup malah bekalan makanan untuk rakyat dan sektor pertanian negara juga akan terjejas,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 13/3/2024




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo