NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerajaan gagal fahami kesan berantai SST naik




KUALA LUMPUR
: Kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) telah menjadikan rakyat Malaysia seperti jatuh ditimpa tangga, berikutan kesannya menyebabkan berlaku kenaikan kos barangan dan perkhidmatan yang menjadi semakin mahal.

Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) berkata, dalam keadaan rakyat berhadapan dengan masalah kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup, mereka juga berdepan dengan kenaikan cukai SST kepada 8 peratus.

“Termasuk bagi penggunaan elektrik melebihi 600 kilowatt, dan selain itu cukai SST juga dikenakan terhadap perkhidmatan logistik seperti perkhidmatan pergudangan, penghantaran, perkhidmatan pelabuhan, perkapalan, penerbangan dan lain-lain yang berkaitan dengan rantaian bekalan,” kata beliau.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mengemukakan perkara tersebut semasa mengambil bahagian berucap pada Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, Parlimen, di sini sebentar tadi.

Menurut beliau, pada masa yang sama timbul cadangan untuk pencen penjawat awam dihapuskan, selain perbelanjaan kesihatan turut dipotong serta banyak subsidi bakal ditarik balik.

“Kerajaan tidak mengambil kira secara holistik bebanan yang ditanggung oleh rakyat dengan keputusan untuk menaikkan kadar cukai dan lain-lain kenaikan. Seolah semuanya dilonggok ke atas rakyat.

“(Sedangkan kerajaan perlu) ada strategi jaringan keselamatan sosial yang menyeluruh ataupun dasar jaringan keselamatan sosial yang menyeluruh,” tambah bekas Perdana Menteri itu.

Beliau membacakan kenyataan seorang Timbalan Menteri di mana mengingatkan peniaga yang tidak terbabit dengan kenaikan cukai SST supaya tidak menaikkan harga, antara disebut ialah peniaga makanan.

“Ya betul sektor makanan dan juga minuman tidak terbabit dengan kenaikan cukai SST kepada 8 peratus. Tetapi katakanlah peniaga itu peniaga jual nasi campur dengan cukai SST dikenakan untuk perkhidmatan logistik, kos pengangkutan bagi daging, ayam, ikan, sayur dan lain-lain lagi, pastinya juga akan meningkat.

“Dan kalau kos barang ini meningkat, takkanlah peniaga nasi campur nak jual nasi dengan harga yang sama seperti sebelum ini. Jadi secara logiknya pastilah mungkin jual dengan harga yang lebih tinggi lagi.

“Jadi adakah kerajaan pada hari ini faham kesan kenaikan cukai ini terhadap keseluruhan rantaian bekalan yang akhirnya menyebabkan hampir semua barang naik dan kesannya ditanggung oleh rakyat jelata.” kata beliau. – HARAKAHDAILY 5/3/2024



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo