Badrul Hisham Shaharin
Badrul Hisham Shaharin

KUALA LUMPUR: Polis membuka kertas siasatan ke atas Chegu Bard atau Badrul Hisham Shaharin dan bekas Setiausaha Politik, Tun Dr Mahathir Mohamad, Muhammad Zahid Md Arip berhubung kenyataan mereka berkaitan kenderaan mewah kurniaan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata siasatan dijalankan ke atas mereka mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

"Ia susulan kenyataan dibuat mereka berkaitan kenderaan baharu digunakan Perdana Menteri yang dikurniakan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

"Kita sedang melengkapkan kertas siasatan dan akan memanggil mereka berdua bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pemakaian Lencana Pangkat dan Serah Terima Tugas Pengarah dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) serta Pengarah dan Pengerusi PERKEP Jabatan Siasatan Jenayah di sini, hari ini.

Anwar sebelum menggunakan kenderaan baharu jenama Mercedes Benz di Parlimen.

Anwar dilihat menaiki kereta Mercedes berwarna hitam dengan nombor pendaftaran VEV 1158 di mana semakan didaftarkan atas nama Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.